Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PESTA RIA INKLUSIF: PERARAKAN ORANG KELAINAN UPAYA DAN MAJLIS PERASMIAN PAMERAN "SENI UINTUK SEMUA" SEMPENA HARI ANTARABANGSA ORANG KELAINAN UPAYA 2025
SaveClip.App_588656617_18081883124123568_2703432405775323783_n.jpg
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Pesta Ria Inklusif: Perarakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Majlis Perasmian Pameran “Seni Untuk Semua” (“Art for All”) sempena sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2025. Majlis berlangsung di Hab Tenaga Dermaga, Diraja, Bandar Seri Begawan dan kawasan sekitarnya pagi ini.

Pesta Ria Inklusif ini disertai oleh seramai 113 peserta yang membuat perarakan sejauh 1.3 kilometer di sekitar kawasan Hab Tenaga Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan. Perarakan ini melibatkan penyertaan pelbagai kategori OKU daripada Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan dibawahnya, agensi kerajaan dan persatuan-persatuan badan bukan kerajaan (NGOs). Tema bagi peserta perarakan OKU ini adalah Nadi Warisan Brunei (Ungu). Beberapa peserta mengenakan pelbagai pakaian tradisional Melayu Brunei iaitu seperti padian dan membawa prop yang berbentuk seperti temuai dan bermacam-macam lagi.
SaveClip.App_586717971_18081883142123568_4450841536862999119_n.jpg

Perarakan OKU ini merupakan acara peringkat nasional yang julung-julung kalinya diadakan sempena Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2025 di Brunei Darussalam. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman, penerimaan dan penghargaan terhadap keupayaan serta sumbangan OKU, di samping memperjuangkan peluang inklusif dan keterangkuman sosial. Perarakan ini menegaskan bahawa OKU mempunyai bakat, potensi diri dan nilai unik, serta mampu menyumbang kepada kemajuan negara apabila diberi peluang yang sama. Ia juga menyeru masyarakat meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan dan membina masyarakat yang inklusif, prihatin dan saksama melalui sokongan bersama semua pihak. Inisiatif ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara OKU, keluarga dan komuniti, di samping memperkukuh keyakinan diri OKU untuk berinteraksi dan tampil di khalayak umum dalam suasana sosial yang mesra dan inklusif.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan Majlis Pesta Ria Inklusif: Perarakan OKU dan Majlis Pelancaran Seni Untuk Semua ialah YM Dayang Hajah Nor Ashikin Binti Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penerangan ringkas kepada para peserta mengenai laluan perarakan, khususnya bagi membantu OKU Penglihatan memahami laluan dengan lebih mudah dan selamat.

Tetamu Kehormat seterusnya menyempurnakan pelancaran rasmi Perarakan OKU iaitu dengan persembahan pencak silat dari Jabatan Belia dan Sukan Tutong sebelum perarakan dimulakan. Setelah selesai perarakan, tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah kepada tiga pasukan yang kreatif dengan tema yang telah ditetapkan. Juara ialah Pasukan Pusat Bahagia, Naib Juara ialah Pasukan Persatuan Bagi Autism Dalam Latihan, Pendidikan dan Sumber (SMARTER Brunei) dan Tempat Ke-tiga ialah Pasukan Uniklearn by An-Nur Harapan. Johan memperolehi hadiah wang tunai berjumlah $500.00, sijil, piala, dan sebuah TV berukuran 32 inci, Naib Johan memperolehi hadiah wang tunai berjumlah $400.00, sijil, piala, dan sebuah TV berukuran 32 inci dan Tempat Ketiga memperolehi hadiah wang tunai berjumlah $300.00, sijil, piala, dan sebuah TV berukuran 32 inci. Manakala pasukan tempat ke-empat hingga ke-enam memperolehi sijil dan sebuah TV berukuran 32 inci.
SaveClip.App_589594096_18081883235123568_7096153230429000660_n.jpg

Tetamu Kehormat dan para jemputan kemudiannya beralih ke Galeri Seni 4, Hab Tenaga Dermaga Diraja bagi merasmikan Pameran Seni Untuk Semua. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja yang menyokong acara Perarakan OKU dan Pameran Seni Untuk Semua. Sebelum bersurai tetamu kehormat dan para hadirin menyaksikan Pameran Seni Untuk Semua.

Pameran tahun ini adalah kali ke-4 diadakan, membawa tema “Nadi Warisan Brunei”, yang menampilkan hasil karya berinspirasikan identiti negara, hari-hari kebesaran dan perayaan, budaya dan tradisi, tempat-tempat menarik, keindahan alam serta aktiviti seharian. Pameran yang dikendalikan oleh kurator, Dayang Wan Zahidah binti Metussin, berlangsung bermula 14 hingga 31 Disember 2025 dan mempamerkan hasil karya para artis OKU merangkumi lukisan, kraftangan dan pelbagai karya kreatif yang menonjolkan ekspresi, bakat dan imaginasi mereka.
SaveClip.App_590429899_18081883244123568_1293941993893157231_n.jpg

Turut hadir ialah YM Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, YM Tuan Yang Terutama Dr Tamer Mansy, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO), para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.
Attachments
Created at 1/5/2026 8:49 AM by jamaddil.kassim
Last modified at 1/5/2026 8:49 AM by jamaddil.kassim