Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PERTANDINGAN DAN ACARA KEMUNCAK OKU SERLAHKAN BAKATMU (OKU GOT TALENT) SEMPENA HARI ANTARABANGSA ORANG KELAINAN UPAYA 2025

GAMBAR RAMAI.jpg

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui Bahagian Orang Kelainan Upaya (BOKU), dengan kerjasama rakan strategik; Bahagian Kebudayaan dan Kesenian (BKK) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Revolution Records telah menganjurkan Pertandingan Akhir dan Acara Kemuncak Program “OKU Serlahkan Bakatmu” (OKU Got Talent) 2025 sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2025. Acara berlangsung di Aras Bawah, Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas.

Program OKU Got Talent merupakan sebuah platform inklusif yang memberi ruang kepada individu OKU untuk menyerlahkan bakat dalam bidang nyanyian, tarian, muzik dan seni kreatif. Inisiatif ini bertujuan memupuk keyakinan diri, mengasah kemahiran berkomunikasi serta meningkatkan keupayaan peserta untuk berinteraksi dengan Masyarakat dan mencungkil bakat baharu untuk penyertaan dalam kumpulan kebudayaan (cultural troupe).

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Pertandingan Akhir pada sebelah pagi ialah YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat. Pertandingan akhir bermula pada jam 10.00 pagi dan menyaksikan penyertaan sebelas (11) peserta OKU dari seluruh daerah. Para peserta dibahagikan kepada dua kategori iaitu “Permata” (25 tahun dan ke bawah) dan “Mekar” (26 tahun dan ke atas). Hakim Penilaian peserta dikendalikan oleh tiga (3) orang juri terdiri daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Pusat Pembangunan Belia dan Revolution Records.

Sebelum pertandingan akhir, tiga sesi uji bakat telah dijalankan iaitu pada 25 dan 27 Ogos 2025 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka semasa Pesta Buku Brunei; serta ujibakat ketiga pada 18 Oktober 2025 di Pusat Membeli-belah KB Sentral, Kuala Belait. Ujibakat ini diadakan bagi mengenal pasti bakat kreatif OKU dari seluruh negara, sekaligus memastikan penyertaan berkualiti serta mewakili pelbagai latar belakang.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi acara kemuncak pada sebelah petang ialah YM Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara Kemuncak Program dimulakan dengan tayangan istimewa lagu tema rasmi program, Serlahkan Bakatmu. Diikuti dengan persembahan pembukaan oleh YM Awang Jamary bin Dangat, seorang OKU Penglihatan dengan judul lagu Kampung Ayer. Seterusnya, pengumuman pemenang bagi kategori Permata (25 tahun ke bawah) yang juga dipelawa sekali lagi untuk membuat persembahan. Pemenang bagi kategori tersebut ialah:

JUARA.jpg

I. Juara bagi kategori “Permata” (25 tahun ke bawah) dimenangi oleh YM Eddy Iswanndy Ismail Bin Imran, yang menerima piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah dua ribu Dollar Brunei (BND 2,000.00) dan kelas bimbingan sepanjang hayat (lifetime monitoring class).

NAIB JUARA.jpg

II. Tempat kedua pula dimenangi oleh YM Mohammad Rozyman Bin Norman yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah satu ribu Dollar Brunei (BND 1,000.00) dan kelas bimbingan sepanjang hayat (lifetime monitoring class).

TEMPAT KETIGA.jpg

III. Tempat ketiga dimenangi oleh YM Muhammad Rafiq Irfan Bin Mohamad Affendy yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah lima ratus Dollar Brunei (BND 500.00).

Acara turut diserikan dengan persembahan nyanyian solo daripada YM Awang Alimi bin Haji Awang Mahli, seorang OKU anggota dengan lagu Salam Kasihku.

Seterusnya adalah pengumuman bagi pemenang kategori “Mekar” (26 tahun ke atas). Para pemenang juga dijemput sekali lagi untuk mempersembahkan bakat masing-masing. Pemenang kategori tersebut ialah:

JUARA1.jpg

I. Juara bagi kategori 26 tahun ke atas di menangi oleh YM Muhamad Izan Safree Bin Radat, menerima piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah dua ribu Dollar Brunei (BND 2,000.00) dan kelas bimbingan sepanjang hayat (lifetime monitoring class).

NAIB JUARA2.jpg

II. Tempat kedua pula dimenangi oleh YM Dk Soffiezah Binti Pg Hj Abu Bakar yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah satu ribu Dollar Brunei (BND 1,000.00) dan kelas bimbingan sepanjang hayat (lifetime monitoring class).

TEMPAT KETIGA3.jpg

III. Tempat ketiga dimenangi oleh YM Safarinah Binti Hashim yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah lima ratus Dollar Brunei (BND 500.00).

Acara dimeriahkan dengan persembahan nyanyian duet daripada YM Awang Jamary bin Dangat dan YM Dayang Hasrina binti Haji Pancha, kedua-duanya merupakan OKU Penglihatan dengan lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada para hakim, penaja dan para penyanyi undangan dan seterusnya penyampaian hadiah kepada para peserta. Disamping itu juga terdapat pameran-pameran dari Pusat Bahagia dan Ahli-Ahli MKOKU.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), persatuan-persatuan bukan Kerajaan (NGO), para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.

Program OKU Got Talent ini telah banyak menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai dan para juri. Para peserta sangat menonjol dengan bakat mereka yang pelbagai dan persembahan yang mengagumkan. Sokongan padu daripada keluarga peserta turut terserlah, sekali gus menyemarakkan suasana yang penuh inspirasi sepanjang acara tersebut. 

Attachments
Created at 12/9/2025 2:16 PM by jamaddil.kassim
Last modified at 12/9/2025 2:16 PM by jamaddil.kassim