
Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU)
2025, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan (KKBS) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian
Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Pendidikan Khas (JPK),
Kementerian Pendidikan, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU),
Persatuan Orang-Orang Cacat Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA), Pusat Ehsan
Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan An-Nur Harapan telah menganjurkan Majlis Doa
Kesyukuran dan Menyintai Al Quran petang tadi yang berlangsung di Dewan Bankuet,
bangunan Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk menanamkan rasa kecintaan dan minat terhadap Al-Quran dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU). Seramai 36 peserta OKU terdiri daripada penuntut-penuntut di sekolah-sekolah menengah dan
sekolah-sekolah ugama, pelatih-pelatih Pusat Bahagia di ke-empat-empat daerah, ahli –
ahli Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, PAPDA dan An-Nur Harapan telah
menyertai majlis ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi
Majlis YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan
Pembangunan Masyarakat, selaku pengerusi majlis. Seterusnya, Tetamu Kehormat
menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan komitmen masyarakat dalam
memperkukuh budaya inklusif selaras dengan tema “Memupuk Masyarakat Berkelainan
Upaya yang Inklusif ke arah Kemajuan Sosial”, khususnya dalam menyediakan
persekitaran mesra-OKU, dasar responsif serta peluang yang saksama bagi golongan
OKU. Ucapan tersebut turut menzahirkan penghargaan terhadap potensi OKU sebagai penyumbang kepada pembangunan negara, di samping menegaskan bahawa kecintaan
kepada Al-Quran adalah universal dan mampu memperkasa kesejahteraan rohani tanpa
mengira keadaan fizikal, intelek atau kemampuan penglihatan. Inisiatif kerajaan seperti
pemberian Biasiswa Pengajian Tahfiz kepada OKU di bawah JAPEM, juga menunjukkan
sokongan berterusan terhadap penyertaan aktif mereka dalam mengukuhkan syiar Islam
dan agenda pembangunan negara. Secara keseluruhannya, majlis ini berperanan sebagai
platform untuk memupuk kesedaran, perpaduan dan penghormatan kepada golongan
OKU serta mengajak masyarakat membina ekosistem yang inklusif, harmoni dan
berkeadilan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan klip video pendek yang
memaparkan pencapaian serta perkembangan OKU di Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, diikuti
bacaan secara beramai-ramai Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk serta bacaan doa
selepas bacaan Al-Quran oleh peserta-peserta majlis.

Acara diteruskan dengan penyampaian ceramah khas bertajuk “Keindahan Al-Quran
Dalam Kehidupan Insan Istimewa” yang disampaikan oleh YM Dr.Haji Noralizam bin Haji
Aliakbar, Penolong Profesor, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri
Begawan. Antara intipati ceramah yang disampaikan menegaskan bahawa Al-Quran
adalah teman setia mukmin sebagai sumber panduan ke jalan lurus, penenang hati dan
kekuatan ketika menghadapi apa jua ujian kehidupan, ianya jua akan menjadi “insan
istimewa” di dunia, di alam barzakh dan di hari akhirat bagi mukmin yang membaca dan
mengamalkan Al Quran.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sijil oleh Tetamu Kehormat
kepada para peserta, penceramah dan penaja. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa
Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh YM Haji Mohd Azrol
Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 2, Masjid Daerah
Brunei dan Muara.
Turut hadir ialah, YM Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap
(Kemasyarakatan), Kementerian Keudayaan, Belia dan Sukan, YM Hajah Fauziah binti
Haji Abdul Hamid, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku
Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku pengerusi majlis, pegawai-pegawai
kanan dari KKBS, KHEU, Kementerian Pendidikan, MKOKU dan persatuan-persatuan
bukan kerajaan, rakan-rakan strategik KKBS dan para penaja.