Negara Brunei Darussalam akan memeriahkan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2025, yang diraikan setiap 3 Disember, dengan menyalakan lampu berwarna Ungu di beberapa lokasi utama iaitu Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu akan berlangsung dari 2 hingga 3 Disember 2025, bermula pada 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam setiap malam. Penyalaan lampu ini adalah sebagai sokongan dan peringatan terhadap Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya. Tema sambutan pada tahun ini adalah "Memupuk Masyarakat Berkelainan Upaya yang Inklusif ke arah Kemajuan Sosial".

Pemilihan warna Ungu adalah bersempena tema Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya yang juga dipraktikkan oleh negara-negara lain. Penyalaan lampu ini adalah meraikan penyertaan dan perkembangan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di dalam masyarakat sekaligus dapat meningkatkan usaha ke arah kesedaran dan mendidik masyarakat terhadap golongan OKU dan untuk membentuk pandangan positif terhadap golongan ini.
Orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi tersebut yang diterangi lampu ungu dan memuat naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HAOKU2025 atau #IDPWD. Marilah kita memeriahkan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya - meraikan keupayaan, memperkukuhkan empati, dan membina masyarakat yang benar-benar inklusif.