Sebagai sebahagian daripada sambutan global Hari Kanak-kanak Sedunia 2025, Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, agensi
swasta dan persatuan bukan kerajaan telah menganjurkan Forum dan Bengkel Voices of
Children bertajuk “Menghubungkan dan Melindungi (Connect and Protect)” di Rumah Al-Hamasah, Kompleks Sukan Jerudong.
Tetamu kehormat majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Awang Haji Nazmi Mohamad,
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan)
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh,
Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat Pegawai-pegawai kanan
daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, rakan strategik dan YM Dato Paduka
Haji Omar bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN
mengenai Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC)
bagi Hal Ehwal Kanak-kanak. selaku pengerusi majlis.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis dan beliau menekankan tema
Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, “Dengarkan Suara Masa Hadapan,” yang
menggariskan kepentingan melindungi kanak-kanak, menyokong pendidikan dan
kesihatan mereka, serta memastikan mereka mempunyai suara dalam keputusan yang
menyentuh kehidupan mereka. Beliau menyatakan bahawa walaupun Brunei telah
mencapai kemajuan yang baik dalam kebajikan kanak-kanak, perubahan pesat dalam
dunia digital telah membawa cabaran baharu seperti buli siber, maklumat palsu dan
tekanan kesihatan mental. Beliau menekankan keperluan untuk membina keyakinan,
ketahanan dan nilai murni dalam diri kanak-kanak, serta benar-benar mendengar
pandangan dan kebimbangan mereka. Beliau turut berkongsi usaha berterusan ASEAN
dalam melindungi kanak-kanak, khususnya di ruang digital. Beliau mengakhiri ucapan
dengan menggalakkan para belia untuk bersuara dan mengingatkan orang dewasa agar mendengar dengan penuh perhatian serta bertindak dengan rasa tanggungjawab, sekali
gus menegaskan komitmen bersama untuk melindungi dan menyokong setiap kanak-kanak.
Acara diteruskan dengan persembahan nyanyian daripada dua orang penuntut Orang
Kelainan Upaya (OKU) iaitu YM Awang Mohammad Farhun Azka bin Haji Rizalenono,
daripada Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 dan YM Awang Mohammad Aminur
Rafiuddin bin Mohammad Azlan @ Anasta Dasuki daripada Sekolah Rendah Dato Marsal.


Acara ini telah dihadiri oleh 20 orang pelajar yang terdiri dari Tahun 8 hingga Tahun 10
yang mewakili Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah
Sayyidina Husain dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran
Anak Hajah Saleha.
Tujuan forum dan bengkel ini adalah untuk menyediakan ruang kepada kanak-kanak dan
remaja berkongsi pandangan, pengalaman dan aspirasi mereka berkaitan keselamatan
digital, isu buli serta kesejahteraan mental, di samping meningkatkan kesedaran tentang
penggunaan teknologi yang beretika dan seimbang. Ia juga bertujuan menggalakkan
kolaborasi antara agensi dalam memperkukuh strategi perlindungan digital dan
kesejahteraan sosial kanak-kanak, menghasilkan Youth Digital Safety & Wellbeing
Statement sebagai refleksi pandangan generasi muda terhadap masa depan digital yang
selamat, serta menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia melalui penglibatan
aktif pelbagai sektor di peringkat nasional.

Bagi sesi forum, ianya telah dikendalikan oleh YM Dayang Siti Rafhanah binti Nor, Naib
Presiden daripada MyActionsforSDGs semasa sesi pagi. Dalam usaha memperkukuhkan
perbincangan dan perkongsian ilmu, empat orang penyampai telah dijemput untuk
memberikan taklimat dan membincangkan topik-topik berkaitan.
Tajuk 1 yang berkaitan dengan pengukuhan perlindungan kanak-kanak dalam
talian (strenghtening child online protection) yang disampaikan oleh YM
Dayang Nur Amalizaan binti Haji Jamal, Pegawai Kerja Sosial JAPEM. Beliau
menjelaskan bahawa JAPEM komited untuk mendengar dan bertindak atas suara
kanak-kanak serta belia dalam dunia digital melalui bimbingan, perlindungan dan sokongan yang sesuai. Melalui Talian Anak 121, ibu bapa boleh membuat laporan
dan menerima panduan serta penilaian awal sebelum dirujuk kepada pegawai sosial
untuk bantuan lanjut. Beliau turut menerangkan bahawa JAPEM memperkasa
kemahiran digital kanak-kanak melalui kerjasama dengan sekolah, di mana guru,
kaunselor dan pengetua boleh merujuk pelajar yang mengalami stres, ketagihan
atau cabaran emosi berkaitan digital agar dapat dibantu denagan segera. Usaha ini
disokong oleh penglibatan komuniti, termasuk kerjasama dengan penyedia
telekomunikasi dan ketua kampung untuk membentuk rangkaian keselamatan yang
kukuh. Melalui advokasi, polisi keselamatan dalam talian dan saluran pelaporan
yang jelas, JAPEM memastikan persekitaran digital yang lebih selamat serta
menyokong semua kanak-kanak di Brunei.
Tajuk 2 yang berkaiatan dengan tatacara Unit Siasatan Jenayah Penderaan
Wanita dan Kanak-kanak mengendalikan siasatan berhubung kes melibatkan
kanak-kanak dan orang muda (How the Women and Child Abuse Investigation
Unit Investigates Cases Involving Young People) yang disampaikan oleh YM
INSP Muhammad Zulfadli bin Haji M Suhaili, Pegawai Siasatan, daripada Unit
Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan
Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei. Belia menjelaskan bahawa mendengar
suara kanak-kanak dan orang muda membawa bermaksud mendengar tanpa
menghakimi agar mereka selamat berkongsi masalah, kerana tanpa keterbukaan
penyiasatan tidak dapat mengenal pasti isu sebenar. Unit Penyiasatan Wanita dan
Kanak-Kanak mengendalikan kes dengan menekankan keselamatan, sensitiviti dan
kualiti bukti, menerima laporan daripada sekolah, pegawai sosial, ibu bapa atau
komuniti. Selepas laporan dibuat, penilaian risiko dilakukan termasuk menilai akses
pengganggu dalam talian, dan mangsa dirujuk ke hospital jika perlu. Temuduga
dijalankan di bilik khas oleh pegawai forensik, dengan rakaman digunakan untuk
tujuan mahkamah. Kes lazim termasuk buli siber, grooming, eksploitasi dalam talian
dan sextortion, seperti ugutan mendedahkan gambar peribadi selepas putus
hubungan, yang menegaskan keperluan pemantauan ibu bapa dan sokongan
komuniti. Bagi memastikan keselamatan kanak-kanak, ibu bapa disaran memantau
aktiviti digital, menetapkan had masa, memilih kandungan sesuai dan membina
kesedaran tentang risiko dalam talian sebagai amalan harian.
Tajuk 3 yang berkaiatan dengan Bagaimana generasi muda dapat belajar
menyoal apa yang mereka lihat tanpa menjadi terlalu curiga atau cemas
tentang perisian dalam talian seperti AI” (With AI-generated content,
deepfakes, and edited posts everywhere, how can young people learn to
question what they see without becoming overly suspicious or anxious about
everything) yang disampaikan oleh YM Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi,
Pengurus Penyiaran dan Peraturan Kandungan daripada AITI. Beliau
mengongsikan pandangan tentang mendengar suara generasi muda dalam dunia
digital bermaksud lebih daripada sekadar mendengar kata-kata mereka. Ia bererti
memahami pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi, serta bertindak dengan
memberikan bimbingan, sokongan dan perlindungan yang sesuai. Generasi muda
hari ini membesar dengan teknologi dan AI yang menjadi sebahagian daripada
kehidupan seharian, dan ini membentuk cara mereka belajar, berkomunikasi dan
berkreativiti. Walaupun teknologi membawa manfaat, ia juga mempunyai risiko
seperti maklumat palsu, deepfake dan kandungan yang mengelirukan. Peranan
pengawal selia bukanlah untuk menghalang penggunaan teknologi, tetapi
membantu kanak-kanak dan remaja membina kemahiran digital yang sihat—seperti
mengawal masa skrin, mengenal pasti kandungan berbahaya dan semak kesahihan
maklumat. Platform seperti TikTok, Instagram dan Roblox juga mempunyai
peraturan dan ciri keselamatan untuk melindungi pengguna muda.Dengan
kerjasama platform, ibu bapa dan komuniti, usaha keselamatan digital dapat
diperkukuhkan. Tujuannya ialah memastikan generasi muda dapat meneroka dunia
digital dengan selamat, yakin dan bertanggungjawab.
Tajuk 4 yang berkaiatan dengan Ancaman dan risiko dalam talian yang sering
dihadapi zaman ini dan apakah tabiat mudah yang dapat membantu mereka
kekal selamat setiap hari?” (What online risks or threats are most common
among teenagers today, and what simple habits can help them stay safe every
day?) yang disampaikan oleh YM Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi,
Pegawai Operasi daripada Cyber Security. Beliau menekankan kepentingan
mendengar guru dan pelajar memandangkan penggunaan media sosial di Brunei
sangat tinggi walaupun populasinya kecil. Pihak Cyber Security melawat sekolah
untuk memahami platform yang digunakan pelajar, memberi nasihat dan
menggalakkan penggunaan teknologi secara positif. Bagi melindungi anak-anak, mereka perlu tahu saluran untuk membuat laporan jika dibuli atau menghadapi
masalah dalam talian, serta berhati-hati terhadap amalan oversharing yang
berbahaya. Pelajar diingatkan untuk berfikir sebelum memuat naik atau menghantar
sesuatu, kerana maklumat yang dikongsi secara terbuka boleh dijejaki pihak polis
jika perlu. Secara keseluruhan, setiap individu harus bijak dan tidak berkongsi
maklumat peribadi secara berlebihan.
Sesi pagi diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada YM Dato Paduka Haji Omar
bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN mengenai
Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) bagi Hal
Ehwal Kanak-kanak kepada penyampai-penyampai taklimat.
Bagi sesi bengkel, ianya dikendalikan oleh YM Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi,
Pengurus Penyiaran dan Peraturan Kandungan daripada AITI selaku fasilitator utama dan
lima orang pakar yang akan membantu perbincangan para pelajar. Fasilitaror-fasilitator
yang turut dijemput adalah YM Dayang Nur Amalizaan binti Haji Jamal, Pegawai Kerja
Sosial daripada JAPEM, YM INSP Muhammad Zulfadli bin Haji M Suhaili, Pegawai
Siasatan, daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan
Siasatan Jenayah, YM Pengiran Muhammad Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz, Ketua
Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, daripada Cybersecurity, YM Dato Paduka Haji
Omar bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN mengenai
Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) bagi Hal
Ehwal Kanak-kanak dan YM Dayang Zahratul’Azimah binti Haslin, Pegawai Kesihatan
Bersekutu (Psikologi), Bahagian Psikologi Masyarakat daripada Kementerian Kesihatan.
Bengkel ini dipecahkan kepada 4 kumpulan dan dirumuskan seperti berikut;
Kumpulan 1 [Protection Against All Forms of Bullying] menyuarakan hasrat yang
mendalam untuk melihat masa depan di mana isu buli dapat dikurangkan secara signifikan,
dengan kanak-kanak menjadi lebih sedar, berfikiran terbuka, dan dilengkapi dengan
pemikiran yang lebih sihat mengenai kesan buruk buli. Mereka mencadangkan bermula
dengan usaha kesedaran meluas melalui kempen yang disasarkan dan program sekolah,
menggalakkan tabiat positif harian yang ringkas bagi memupuk empati dan hormat, serta menguatkuasakan garis panduan yang lebih jelas—termasuk had masa skrin—untuk
mewujudkan persekitaran yang lebih selamat di dalam talian dan luar talian.
Kumpulan 2 [Balancing Digital Life & Mental Health] menekankan kepentingan
meningkatkan kesedaran meluas tentang mengimbangi tabiat digital dengan
kesejahteraan mental, bertujuan untuk mempengaruhi majoriti golongan muda secara
positif dan mewujudkan tingkah laku dalam talian yang lebih sihat. Mereka mencadangkan
untuk memulakan perkongsian yang kukuh dengan sektor swasta, menganjurkan ceramah
berkala di sekolah, dan melaksanakan kempen yang dipimpin kerajaan untuk
melengkapkan kanak-kanak dengan pengetahuan dan sokongan yang diperlukan bagi
mengekalkan kesihatan mental yang baik dalam dunia yang semakin digital.
Kumpulan 3 [AI, Children’s Rights & Online Safety] mengetengahkan keperluan
bagi kanak-kanak untuk dapat membezakan antara kandungan sebenar dan kandungan
yang dijana oleh AI, memahami manfaat dan risiko alat AI, serta menyedari kepentingan
untuk kekal selamat dalam talian. Mereka mencadangkan pelantikan Duta Belia (Youth
Ambassador) untuk memperjuangkan keselamatan dalam talian, mewujudkan aktiviti
interaktif yang mengajarkan penggunaan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab,
serta menggalakkan penyelidikan dan pembelajaran yang lebih mendalam tentang
keupayaan teknologi dan impak masa depannya terhadap generasi muda.
Kumpulan 4 [Shared Responsibility for Child Safety & Protection] membayangkan
sebuah masyarakat di mana maklum balas kanak-kanak didengari secara tulen dan
digunakan untuk membentuk inisiatif masa depan, ancaman siber dikurangkan, dan
golongan muda berasa diberi kuasa untuk menyumbang secara bermakna kepada
keselamatan komuniti. Untuk mencapai matlamat ini, mereka menekankan kepentingan
untuk bersuara tentang kebimbangan, menyokong satu sama lain, dan sentiasa
mendapatkan maklumat tentang risiko, cabaran, dan kesan berkaitan keselamatan dan
perlindungan kanak-kanak.

Bengkel diakhiri dengan pembentangan hasil bengkel dari empat kumpulan tersebut
dan seterusnya penyampaian cenderahati oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin
binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) selaku tetamu kehormat sesi
petang.