
Negara Brunei Darussalam akan memeriahkan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, yang diraikan setiap 20 November, dengan menyalakan lampu berwarna biru, hijau, putih dan merah di beberapa lokasi utama iaitu Jambatan Sultan Haji Omar' Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu akan berlangsung dari 20 hingga 22 November 2025, bermula pada 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam setiap malam. Penyalaan lampu ini adalah sebagai sokongan dan peringatan terhadap Hari Kanak-Kanak Sedunia, sekaligus mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam meratifikasi Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC). Tema sambutan pada tahun ini ialah "Dengarkan Suara Masa Depan" atau "Listen to the Future".

Pemilihan warna biru adalah bersempena warna tema Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang juga merupakan warna rasmi United Nations Children's Fund (UNICEF), manakala warna hijau, putih dan merah melambangkan keprihatinan masyarakat negara ini akan keadaan rakyat dan anak-anak di Palestin. Penyalaan warna terang ini mewakili perpaduan dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di seluruh dunia.
Orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi tersebut yang diterangi lampu biru dan memuat naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #WCD2025. Marilah kita berganding bahu untuk menghormati dan melindungi hak setiap kanak-kanak.