Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Pusat
Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah menganjurkan Majlis Doa
Kesyukuran sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025 petang tadi
yang berlangsung di Dewan Bankuet, bangunan Majlis Mesyuarat Negara.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan oleh YM
Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan
Masyarakat selaku Pengerusi Majlis. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan
daripada tetamu kehormat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2025.

Acara selanjutnya ialah penyampaian tazkirah bertajuk ‘Meraih Barakah Dunia
Akhirat’ yang disampaikan oleh YM Haji Badaruddin bin Haji Basar, Penolong Ketua
Bahagian Penyebaran Da’wah (Kaunseling), Pusat Da’wah Islamiah. Antara pengisian
penting yang disampaikan oleh penyampai dalam tazkirah tersebut ialah penekanan
terhadap hakikat bahawa kehidupan ini merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh
Allah SWT dan wajib disyukuri oleh setiap makhluk-Nya. Menurut beliau, kehidupan
yang sementara ini seharusnya diisi dengan keimanan yang teguh serta ketaqwaan
yang berterusan kepada Allah SWT. Beliau turut mengajak para hadirin untuk merenung
dan menyedari bahawa mensyukuri serta memanfaatkan nilai nyawa yang dipinjamkan
oleh Allah SWT memerlukan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab
sebagai hamba-Nya. Antara bentuk kesyukuran yang sebenar ialah dengan mentaati
segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagai contoh, beliau menekankan kepentingan menunaikan solat, membaca serta menghayati al-Qur’an,
bersedekah, mengamalkan sunnah Rasulullah SAW serta memperbanyakkan amalan
kebaikan. Beliau mengakhiri penyampaian dengan harapan agar segala usaha ini
menjadi sebab kepada keberkatan hidup serta kejayaan yang hakiki, sama ada di dunia
mahupun di akhirat.
Acara kemuncak ialah pengumuman keputusan Musabaqah Tilawatil Quran Pusat
Kegiatan Warga Emas bagi tahun 1447H/2025M yang disampaikan oleh YM Awang Haji
Abd Malik bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pengerusi Jemaah Hakim
yang dilantik oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama.
I. Johan Qari dan Qariah ialah YM Awang Haji Junadi bin Haji Sabtu dari PKWE
Daerah Tutong dan YM Dayang Hajah Amnah binti Md Yusof dari PKWE
Daerah Brunei dan Muara, masing-masing menerima piala, sijil penyertaan, wang
tunai berjumlah Lima Ratus Ringgit Brunei (BND500.00), baucar tunai dan
barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husnaa (kain tenunan dan beg
Jong Sarat), Halimah Habib dan Modessa.
II. Naib Johan Qari dan Qariah pula disandang oleh YM Ustaz Dr Zulkifli bin Haji
Zakaria dari PKWE Daerah Belait dan YM Dayang Hajah Kasminah binti
Gulam Muhammed dari PKWE Daerah Brunei dan Muara menerima piala, sijil
penyertaan, wang tunai berjumlah Tiga Ratus Ringgit Brunei (BND300.00)
baucar tunai dan barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husna, Halimah
Habib dan Modessa.
III. Tempat Ketiga Qari dan Qariah dimenangi oleh YM Awang Haji Saifuzzaman
bin Haji Apong dari PKWE Daerah Temburong dan YM Dayang Jamaliah binti
Haji Pudin dari PKWE Daerah Tutong masing-masing membawa pulang piala,
sijil penyertaan, wang tunai berjumlah Seratus Ringgit Brunei (BND100.00),
baucar tunai dan barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husna, Halimah
Habib dan Modessa.
Acara juga mendengarkan persembahan bacaan daripada Johan Qari dan Qariah serta
diteruskan dengan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan kepada para
pemenang Musabaqah Tilawatil Quran Pusat Kegiatan Warga Emas, juri-juri hakim dan
para penaja. Majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan
yang dibacakan oleh YM Ustaz Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, Guru Ugama
daripada Pusat Bahagia Brunei dan Muara.


Turut hadir ialah Yang Berhormat ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap
(Kebudayaan), Kementerian Keudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kanan dari
KKBS, KHEU, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung, Pengurus dan
ahli–ahli PKWE seluruh daerah; Pertubuhan Wargamas; persatuan-persatuan bukan
kerajaan, para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.
