Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2025

IMG_6697.jpg

​Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam serta Persatuan Membangun Wanita dan Masyarakat (MAWAR) telah mengadakan Majlis Kesyukuran (Khas Wanita) di Kompleks Sukan Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara.

Majlis ini telah dihadiri oleh sekurang-kurangnya 150 orang yang terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian-kementerian, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Kehadiran para jemputan mencerminkan solidariti dalam memperkukuh peranan wanita dalam kemajuan negara.

IMG_6732.jpg

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh YM Ustazah Hajah Fatimah binti Haji Ahmad dari Pesatuan Pertiwi, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam. Kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh YM Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis. Acara diteruskan dengan bacaan Tahlil yang dipimpin oleh YM Ustazah Hajah Fatimah binti Haji Ahmad, diikuti dengan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh YM Ustazah Zeliha binti Haji Mohamad Ali dari Pesatuan Pertiwi dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh YM Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar dari Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei.

IMG_6876.jpg

Majlis diteruskan dengan sesi tazkirah bertajuk "Peranan Wanita dalam Membantu Pembangunan Negara" yang disampaikan oleh YM Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, Pegawai Ugama dari Pusat Da’wah Islamiah. Antara intipati tazkirah adalah Islam menempatkan martabat wanita pada kedudukan yang sangat tinggi, baik sebagai anak, isteri, mahupun ibu. Seorang anak perempuan yang solehah dapat menjadi perisai bagi kedua ibu bapanya daripada api neraka, terutama jika dibesarkan dengan akhlak dan agama yang baik. Sebagai isteri, wanita yang solehah adalah kebahagiaan bagi suaminya, mentaati dan menjaga kehormatan rumah tangga, sehingga menjadi sebahagian daripada syurga di dunia. Sebagai ibu, wanita memiliki keutamaan tiga kali lebih tinggi daripada ayah kerana peranannya dalam mengandung, melahirkan, dan menyusui. Dalam masyarakat dan negara, wanita berperanan besar dalam melahirkan generasi hebat, membina rumah tangga yang harmonis, serta menerapkan iman dan takwa. Solusi untuk menjadi wanita unggul adalah dengan beriman dan bertakwa, bersikap mandiri, bersyukur, bijak membahagikan masa, serta berusaha menjadi wanita solehah yang membentuk keluarga yang diredai Allah.

Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun merupakan satu detik penting dalam mengiktiraf sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai bidang. Tahun 2025 menandakan kali ke-12 Negara Brunei Darussalam meraikan sambutan ini dengan bertemakan "Untuk SEMUA Wanita dan Gadis: Hak. Kesamarataan. Pemerkasaan." Secara kesimpulannya, tema ini menekankan kesamarataan, perlindungan dan pemerkasaan, khususnya bagi wanita dan gadis, agar mereka dapat menjadi agen perubahan yang positif dalam masyarakat dan seterusnya Negara.

Majlis Kesyukuran ini bukan sahaja menjadi wadah untuk memperingati pencapaian wanita tetapi juga sebagai platform bagi memperkukuh kesedaran dan sokongan terhadap usaha pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan. Diharapkan, sambutan ini terus menjadi inspirasi kepada semua wanita untuk terus maju dan berdaya saing dalam membentuk masa depan yang lebih cerah. Majlis turut diselajurkan dengan penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas dari Jabatan Pembangunan Masyarakat beserta sumbangan tajaan daripada Persatuan Membangun Wanita dan Masyarakat (MAWAR) berbentuk voucher kepada 6 orang penerima-penerima Bantuan Kebajikan Bulanan.

IMG_6910.jpg

IMG_6922.jpg

Turut hadir ialah YM Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap Kemasyarakatan dan Timbalan Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Attachments
Created at 3/13/2025 10:09 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 3/13/2025 10:09 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim