Negara Brunei Darussalam akan menyemarakkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun dengan menyalakan lampu berwarna ungu di beberapa mercu tanda utama. Lokasi-lokasi yang terlibat dalam inisiatif ini termasuklah Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS), Bangunan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Penyalaan lampu akan berlangsung selama dua malam, bermula 7 hingga 8 Mac 2025, dari jam 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memperingati sumbangan dan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang, tetapi juga sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkasakan peranan wanita dalam masyarakat.

Warna ungu dipilih sebagai warna tema rasmi Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, sejajar dengan amalan yang turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Warna ini melambangkan keadilan, martabat dan perpaduan dalam memperjuangkan hak serta kepentingan wanita. Penyalaan lampu ungu juga mencerminkan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap usaha yang digerakkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memperkasakan wanita di seluruh dunia.
Sebagai tanda sokongan dan penyertaan orang ramai dalam kempen ini, orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi yang diterangi cahaya ungu dan memuat-naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HWA2025atau #IWD2025. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesaksamaan gender, tetapi juga menggalakkan masyarakat untuk sama-sama menghargai dan meraikan pencapaian wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan ia dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan penghargaan terhadap sumbangan wanita di Negara Brunei Darussalam serta di peringkat global.