Seramai 115 pelajar telah menerima bantuan persekolahan daripada Kumpulan
Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha
Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu. Majlis
Penyampaian Bantuan Persekolahan ini telah berlangsung di Dewan Kompleks
Sukan Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian
derma bantuan persekolahan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang
Nazmi Bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia
Awang Abdul Ghani Bin Murni, Pekerja Pembangunan Masyarakat. Seterusnya
ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah Binti
Haji Awang Hasbi dari Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha
Tetap dan Ahli Bersekutu. Majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan
persekolahan oleh tetamu kehormat majlis kepada 115 orang pelajar yang terpilih.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Dalam ucapan Yang Mulia Pengerusi Kedua Kumpulan Isteri Menteri-Menteri
Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu, Datin Hajah Nahriah Binti Haji
Awang Hasbi berharap sumbangan derma ini dapat memberikan motivasi kepada
pelajar agar mereka lebih bersemangat dan berusaha lebih gigih. Seiring dengan
itu, Yang Mulia pengerusi majlis juga menekankan agar pelajar-pelajar dapat
menjadi individu yang berguna dan mencapai kejayaan yang cemerlang, bukan
sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan negara.
Seterusnya, Pengerusi juga berharap sumbangan seperti ini dapat memberikan
inspirasi dan dorongan kepada Ahli kumpulan yang lain supaya lebih bersemangat
dan bertekad untuk menganjurkan acara yang memberi manfaat seperti ini di masa
akan datang dengan harapan ia boleh memberi impak yang lebih besar kepada
masyarakat.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin Binti Haji
Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan.