Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah
mengadakan Pameran “Seni Untuk Semua” sempena Sambutan Hari Antarabangsa
Orang Kelainan Upaya (OKU) 2024.
Lebih 100 karya seni, termasuk lukisan, kraftangan, model, dan replika, dipamerkan di
Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja bermula hari ini, 18 Disember 2024
hingga 10 Januari 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan acara tersebut ialah Yang Mulia Dr.
Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan),
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh
Yang Mulia Muhamad Zharfan bin Haji Awang Ahmad, Pegawai Masjid, Jabatan Hal
Ehwal Masjid. Seterusnya, Yang Mulia Dayang Siti Zaharah binti Haji Abd Razak,
Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, menyampaikan ucapan alu-aluan
sebelum majlis diteruskan dengan pelancaran pameran oleh tetamu kehormat. Majlis
diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat
dalam menjayakan pameran ini.
Pameran “Seni Untuk Semua” tahun ini merupakan kali ke-3 diadakan dengan
meneroka tema “Space” yang berkaitan dengan angkasa, astronomi, dan alam
cakrawala. Tema ini memberi peluang kepada para artis untuk mengolah konsep planet,
bintang, komet, nebula, dan elemen lain alam cakrawala ke dalam karya seni mereka,
dengan gabungan pengetahuan sains, imaginasi, dan kreativiti. Selain lukisan, model
kapal angkasa dan replika angkasawan juga dipamerkan.
Pameran ini mengetengahkan hasil seni kreatif OKU dari pelbagai agensi seperti Pusat
Bahagia di keempat-empat daerah, sekolah-sekolah rendah dan menengah, serta
badan bukan kerajaan (NGO). Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah
Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah
Awang Semaun, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Kapok Muara, dan
Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49. NGO yang turut serta termasuk Pusat Ehsan
Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Society for Management of Autism Related Issues in
Training, Education and Resources (SMARTER), La Vida, dan Persatuan ABLE.
Antara objektif pameran ini adalah untuk menjadikan seni sebagai wadah yang memberi
peluang serta hak kesaksamaan dalam persada seni kepada golongan OKU. Ia juga
bertujuan mewujudkan persekitaran yang merangsang OKU untuk aktif dalam seni,
menggalakkan integrasi sosial, dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap
bakat serta hasil seni OKU.
Turut hadir ke pameran tersebut ialah Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji
Hamdan, ahli Majlis Mesyuarat Negara, YM Malai Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji
Abdullah, Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, YM Awang Haji
Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Yang Di-Pertua Majlis Paralimpik Brunei Darussalam,
Suruhanjaya Tinggi Australia, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan
strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan.
Pameran “Seni Untuk Semua” ini berlangsung mulai 18 Disember 2024, hingga 10
Januari 2025. Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi pameran ini dan menelusuri
keajaiban serta keindahan alam cakrawala yang diilhamkan oleh kreativiti artis-artis
OKU.