Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan telah merasmikan acara Pesta Ria Inklusif bersempena
dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang disambut
pada 3 Disember setiap tahun bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri
Begawan hari ini.
Dengan bertemakan “Memperkasa Kepimpinan Orang Kelainan Upaya untuk Masa
Depan yang Inklusif dan Mampan (Amplifying the leadership of persons with disabilities
for an inclusive and sustainable future.)”, aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk
meraikan penyertaan dan perkembangan golongan OKU di dalam masyarakat dan
meningkatkan usaha memupuk kesedaran serta mendidik masyarakat terhadap
keperluan golongan OKU serta untuk membentuk pandangan positif dan kesaksamaan
terhadap golongan tersebut jua.
Acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Haji
Hasnani @ Haji Naning bin Haji Abdul Rahman, Ketua Jurulatih, HSN Fitness dan
diteruskan dengan perasmian Pesta Ria Inklusif oleh tetamu kehormat. Aktiviti “Fun
Walk” sejauh lebih kurang 1.40 kilometer turut disertai oleh lebih daripada 200 peserta,
termasuk golongan OKU.
Orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan pameran dan mengikuti aktiviti-aktiviti
yang diadakan oleh persatuan-persatuan OKU, persatuan badan-badan bukan kerajaan
dan pihak swasta.
Pada acara tahun ini, tetamu kehormat bersama pegawai kanan kerajaan mempelajari
dan merasai sendiri menggunakan kerusi roda dengan mengikuti aktiviti anjuran PJSC yang diketuai oleh Dr Abang Muhammad Fahmy bin Awang Hj Hepnie, Konsultant
Perubatan Pemulihan dan Ketua Jabatan Pemulihan. Aktiviti riadah berkenaan adalah
bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengalaman OKU mengguna
kerusi roda melalui beberapa petunjuk arah dan halangan.
Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, YM Malai Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji Abdullah, Yang Di-Pertua Majlis
Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, YM Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor,
Yang Di-Pertua Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan
kerajaan dan rakan-rakan strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan
kerajaan.
Sambutan HAOKU ini dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pusat
Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) Kementerian Kesihatan, Persatuan Special
Olympics Brunei Darussalam (SOBD) dan Persatuan SMARTER di bawah Majlis
Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Majlis Paralimpik Brunei Darussalam
(PCBD), Persatuan Bahasa Isyarat-Jurualih Kitani (BI-JAK), UnikLearn, La Vida, Pantai
Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Pusat Akademi Sukan Memanah Ar Rafi
(PASMA).