Dua forum PREPanita bertajuk “Selamat Datang ke
Dunia Pekerjaan” dan “Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan” anjuran
Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan
persatuan-persatuan bukan kerajaan telah diadakan hari ini bertempat di IBTE Nakhoda
Ragam Campus.
Kira-kira 130 orang penuntut IBTE telah menyertai kedua-dua forum tersebut yang
bertujuan untuk memperkasa pelajar-pelajar pengajian tinggi agar bersedia secara mental
untuk menempuh alam pekerjaan dan melalui cabaran-cabaran dengan baik. Forum ini juga
memberikan pendedahan mengenai isu-isu gangguan seksual di tempat kerja di samping untuk
meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hak-hak wanita dan mempersiapkan diri kaum
wanita dan kaum lelaki untuk cekal menghadapi masalah atau musibah yang tidak dijangka.
Selain itu ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai penerapan positif dalam
kehidupan dan tatacara untuk berani tampil ke hadapan.
Forum pertama yang bertajuk “Selamat Datang Ke Dunia Pekerjaan” dikendalikan oleh
YM Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak daripada Jabatan Pembangunan
Masyarakat selaku moderator. Ahli-ahli panel terdiri daripada YM Dayang Siti Alifah binti
Awang Osman, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat;
YM Dayang Anisa binti Haji Taib, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 1, Pusat
Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan YM Dayang Sabrina
binti Haji Mahmud, Penasihat Undang-Undang dan Pendakwa Raya, Pejabat Peguam
Negara.
Antara topik-topik yang dibincangkan oleh ahli-ahli panel ialah;
- YM Dayang Siti Alifah daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat telah
mengongsikan mengenai kaedah yang berkesan untuk menangani para wanita yang
menghadapi tekanan yang berlebihan di tempat kerja dan keseimbangan kehidupan
kerja yang baik (work life balance).
- Beliau menekankan kepentingan untuk menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan
juga kehidupan iaitu dengan melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan
tekanan/stres dan burnout. Selain itu juga, menjaga kesihatan fizikal dan mental iaitu
seperti menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, meningkatkan produktiviti
kerja dan memperbaiki hubungan sosial adalah sangat penting untuk menjaga
keseimbangan antara pekerjaan dan juga kehidupan. Beliau juga mengongsikan tip
untuk mencapai dan mengekalkan keseimbangan kehidupan kerja yang baik (good
work-life balance). Salah satu tip yang dikongsikan ialah untuk mengenal pasti apakah
yang menghalang daripada mencapai keseimbangan sebagai contoh isu kekurangan
masa, oleh itu pengurusan masa adalah amat penting.
- YM Dayang Anisa binti Haji Taib telah mengongsikan beberapa program latihan
kemahiran jangka masa pendek dan panjang yang dikendalikan oleh Pusat
Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan seperti Program
Pertanian dan Perladangan, Program Belia Berpadi, Program Inkubator dan Program
Artisan Kemahiran.
- YM Dayang Sabrina binti Haji Mahmud pula mengongsikan pengalaman mereka
dalam memperkasa wanita yang berilmu dan berwibawa dalam menempuh alam
pekerjaan. Beliau juga menekankan bahawa komunikasi adalah penting terutama
sekali apabila ianya berkaitan dengan isu peribadi seperti isu gangguan seksual.
Gangguan seksual iaitu misalnya di tempat kerja adalah isu sensitif bagi yang
mengalaminya tetapi aduan perlu dilaporkan kepada pihak-pihak yang relevan dan
individu yang mengalaminya perlu tahu akan hak-hak mereka untuk tampil ke
hadapan bagi mendapatkan bantuan.
Forum kedua bertajuk “Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan” juga
telah dikendalikan oleh YM Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak daripada Jabatan
Pembangunan Masyarakat selaku moderator. Ahli-ahli panel terdiri daripada YM
Ustazah Dayang Salmah binti Haji Ahmad, Pegawai Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan
Hal Ehwal Syariah; YM DSP Norkhatijah binti Haji Zainal, Ketua Unit Siasatan Jenayah
Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah; YM Dk Hajah Nurizni
binti Pg DP Haji Sallehuddin, Pegawai Kebajikan Perubatan, Hospital Raja Isteri Pengiran
Anak Saleha (RIPAS) dan YM Dayang Siti Zaimah binti Roslan, Pengasas Bleed Safely,
Social Organization dedicated to women’s health.
Antara topik-topik yang dibincangkan oleh ahli-ahli panel ialah;
- YM Ustazah Dayang Salmah binti Haji Ahmad daripada Bahagian Khidmat Nasihat
Negara telah mengongsikan mengenai peranan lelaki dari perspektif Islam serta
interaksi pergaulan antara perempuan dan lelaki mengikut batas syariat. Beliau
menekankan peranan lelaki adalah sebagai pemimpin dalam keluarga, di samping
menjadi pelindung bagi ahli-ahli keluarga lainnya. Beliau juga menekankan bahawa
pergaulan di antara lelaki dan perempuan perlulah dijaga dengan baik agar tiada
perkara yang tidak diingini berlaku. Para penuntut juga di seru untuk sentiasa
menjaga mata, cara percakapan mahupun perbuatan.
- YM DSP Norkhatijah binti Haji Zainal daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan
Wanita dan Kanak-Kanak pula mengongsikan mengenai kes-kes yang diterima
berkenaan dengan wanita dan tindakan yang dapat diambil jika ada keganasan atau
ugutan yang berlaku. Beliau menyatakan kes-kes yang tertinggi ialah kes keganasan
rumahtangga terhadap isteri dan juga kes seksual dari segi menjatuhkan maruah
seperti menjatuhkan maruah melalui media sosial. Para penuntut juga diseru untuk
sentiasa berhati-hati dan melaporkan kepada tenaga pengajar jika mengalami
keganasan atau ugutan semasa waktu pembelajaran sebagai tindakan awal, selain
daripada membuat laporan kepada pihak berkuasa. Beliau menekankan kepada para
pelajar untuk mengetahui akan hak masing-masing apabila berdepan dengan isu-isu
keganasan atau ugutan.
- YM Dk Hajah Nurizni binti Pg DP Haji Sallehuddin, Pegawai Kebajikan Perubatan
Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) mengongsikan antara kes-kes
tertinggi yang di tangani oleh Kebajikan Perubatan Hospital ialah kes penderaan
wanita dan kanak-kanak, mengandung di bawah umur dan wanita yang melahirkan
anak di luar nikah. Dari segi kesihatan mental, beliau juga menekankan kepada
penuntut untuk mengenal pasti simptom-simptom masalah kesihatan mental serta
menyeru para penuntut untuk mengetahui kepentingan self-care dan meminta
pertolongan apabila menghadapi kesusahan (seek help).
- YM Dayang Siti Zaimah binti Roslan, Pengasas Bleed Safely, Social Organization
dedicated to women’s health pula mengongsikan program meningkatan kesedaran
kesihatan wanita terutama sekali mengenai sakit haid dan bersalin serta kepentingan
menggunakan produk yang bersesuaian terutama sekali bagi kanak-kanak yang baru
mengalami haid.