Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PERLANJUTAN TEMPOH KUTIPAN TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN DI GAZA 2023

​Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin memaklumkan bahawa tempoh kutipan tabung adalah dengan ini dilanjutkan selama tiga bulan lagi, iaitu sehingga 18 April 2024 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan derma kepada rakyat Palestin di Gaza.

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai platform bagi orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan bagi membantu meringankan beban serta penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza. Setakat 18 Januari 2024, hasil kutipan tabung adalah sebanyak B$2,370,225.43.

Jumlah kutipan terkumpul ini adalah hasil sumbangan daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui SMS Brunei Prihatin; peti-peti tabung yang diletakkan di masjid, surau/balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam dan Kerajaan; serta aktiviti-aktiviti amal. Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini di atas keprihatinan dan sumbangan derma yang telah dihulurkan kepada tabung tersebut.

Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih yang diperolehi dari mengadakan aktivitiaktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas Kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara. Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat. 

Attachments
Created at 1/22/2024 10:55 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 1/22/2024 10:55 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim