BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November 2020 - Majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan kepada Dayang Noriah binti Haji Tuah iaitu mangsa bencana kebakaran yang berlaku di No.1568A, Kampung Limau Manis pada 4 November 2020 yang lalu telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada pagi ini yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bantuan kewangan tersebut telahpun diserahkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Dayang Noriah binti Haji Tuah, ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut.
Majlis juga turut dihadiri oleh Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap Kemasyarakatan serta pegawai-pegawai dari JAPEM.
Kebakaran yang berlaku pada jam 2:30 petang pada 4 November 2020 itu telah meranapkan keseluruhan bahagian asal rumah di tingkat atas yang berlantaikan jenis kayu dan juga turut merosakkan bahagian dalam rumah di bahagian tingkat bawah.
Pemberian bantuan kewangan ini diharapkan dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.