Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

FORUM DAN BENGKEL "VOICE OF CHILDREN" MENGHUBUNGKAN DAN MELINDUNGI
IMG_6452.jpg

Sebagai sebahagian daripada sambutan global Hari Kanak-kanak Sedunia 2025, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, agensi swasta dan persatuan bukan kerajaan telah menganjurkan Forum dan Bengkel Voices of Children bertajuk “Menghubungkan dan Melindungi (Connect and Protect)” di Rumah Al-Hamasah, Kompleks Sukan Jerudong.

Tetamu kehormat majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat Pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, rakan strategik dan YM Dato Paduka Haji Omar bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) bagi Hal Ehwal Kanak-kanak. selaku pengerusi majlis.

IMG_6497.jpg

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis dan beliau menekankan tema Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, “Dengarkan Suara Masa Hadapan,” yang menggariskan kepentingan melindungi kanak-kanak, menyokong pendidikan dan kesihatan mereka, serta memastikan mereka mempunyai suara dalam keputusan yang menyentuh kehidupan mereka. Beliau menyatakan bahawa walaupun Brunei telah mencapai kemajuan yang baik dalam kebajikan kanak-kanak, perubahan pesat dalam dunia digital telah membawa cabaran baharu seperti buli siber, maklumat palsu dan tekanan kesihatan mental. Beliau menekankan keperluan untuk membina keyakinan, ketahanan dan nilai murni dalam diri kanak-kanak, serta benar-benar mendengar pandangan dan kebimbangan mereka. Beliau turut berkongsi usaha berterusan ASEAN dalam melindungi kanak-kanak, khususnya di ruang digital. Beliau mengakhiri ucapan dengan menggalakkan para belia untuk bersuara dan mengingatkan orang dewasa agar mendengar dengan penuh perhatian serta bertindak dengan rasa tanggungjawab, sekali gus menegaskan komitmen bersama untuk melindungi dan menyokong setiap kanak-kanak.

Acara diteruskan dengan persembahan nyanyian daripada dua orang penuntut Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu YM Awang Mohammad Farhun Azka bin Haji Rizalenono, daripada Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 dan YM Awang Mohammad Aminur Rafiuddin bin Mohammad Azlan @ Anasta Dasuki daripada Sekolah Rendah Dato Marsal.

IMG_6552.jpgIMG_6557.jpg

Acara ini telah dihadiri oleh 20 orang pelajar yang terdiri dari Tahun 8 hingga Tahun 10 yang mewakili Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Tujuan forum dan bengkel ini adalah untuk menyediakan ruang kepada kanak-kanak dan remaja berkongsi pandangan, pengalaman dan aspirasi mereka berkaitan keselamatan digital, isu buli serta kesejahteraan mental, di samping meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi yang beretika dan seimbang. Ia juga bertujuan menggalakkan kolaborasi antara agensi dalam memperkukuh strategi perlindungan digital dan kesejahteraan sosial kanak-kanak, menghasilkan Youth Digital Safety & Wellbeing Statement sebagai refleksi pandangan generasi muda terhadap masa depan digital yang selamat, serta menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia melalui penglibatan aktif pelbagai sektor di peringkat nasional.

IMG_6608.jpg

Bagi sesi forum, ianya telah dikendalikan oleh YM Dayang Siti Rafhanah binti Nor, Naib Presiden daripada MyActionsforSDGs semasa sesi pagi. Dalam usaha memperkukuhkan perbincangan dan perkongsian ilmu, empat orang penyampai telah dijemput untuk memberikan taklimat dan membincangkan topik-topik berkaitan.

Tajuk 1 yang berkaitan dengan pengukuhan perlindungan kanak-kanak dalam talian (strenghtening child online protection) yang disampaikan oleh YM Dayang Nur Amalizaan binti Haji Jamal, Pegawai Kerja Sosial JAPEM. Beliau menjelaskan bahawa JAPEM komited untuk mendengar dan bertindak atas suara kanak-kanak serta belia dalam dunia digital melalui bimbingan, perlindungan dan sokongan yang sesuai. Melalui Talian Anak 121, ibu bapa boleh membuat laporan dan menerima panduan serta penilaian awal sebelum dirujuk kepada pegawai sosial untuk bantuan lanjut. Beliau turut menerangkan bahawa JAPEM memperkasa kemahiran digital kanak-kanak melalui kerjasama dengan sekolah, di mana guru, kaunselor dan pengetua boleh merujuk pelajar yang mengalami stres, ketagihan atau cabaran emosi berkaitan digital agar dapat dibantu denagan segera. Usaha ini disokong oleh penglibatan komuniti, termasuk kerjasama dengan penyedia telekomunikasi dan ketua kampung untuk membentuk rangkaian keselamatan yang kukuh. Melalui advokasi, polisi keselamatan dalam talian dan saluran pelaporan yang jelas, JAPEM memastikan persekitaran digital yang lebih selamat serta menyokong semua kanak-kanak di Brunei.

Tajuk 2 yang berkaiatan dengan tatacara Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak mengendalikan siasatan berhubung kes melibatkan kanak-kanak dan orang muda (How the Women and Child Abuse Investigation Unit Investigates Cases Involving Young People) yang disampaikan oleh YM INSP Muhammad Zulfadli bin Haji M Suhaili, Pegawai Siasatan, daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei. Belia menjelaskan bahawa mendengar suara kanak-kanak dan orang muda membawa bermaksud mendengar tanpa menghakimi agar mereka selamat berkongsi masalah, kerana tanpa keterbukaan penyiasatan tidak dapat mengenal pasti isu sebenar. Unit Penyiasatan Wanita dan Kanak-Kanak mengendalikan kes dengan menekankan keselamatan, sensitiviti dan kualiti bukti, menerima laporan daripada sekolah, pegawai sosial, ibu bapa atau komuniti. Selepas laporan dibuat, penilaian risiko dilakukan termasuk menilai akses pengganggu dalam talian, dan mangsa dirujuk ke hospital jika perlu. Temuduga dijalankan di bilik khas oleh pegawai forensik, dengan rakaman digunakan untuk tujuan mahkamah. Kes lazim termasuk buli siber, grooming, eksploitasi dalam talian dan sextortion, seperti ugutan mendedahkan gambar peribadi selepas putus hubungan, yang menegaskan keperluan pemantauan ibu bapa dan sokongan komuniti. Bagi memastikan keselamatan kanak-kanak, ibu bapa disaran memantau aktiviti digital, menetapkan had masa, memilih kandungan sesuai dan membina kesedaran tentang risiko dalam talian sebagai amalan harian.

Tajuk 3 yang berkaiatan dengan Bagaimana generasi muda dapat belajar menyoal apa yang mereka lihat tanpa menjadi terlalu curiga atau cemas tentang perisian dalam talian seperti AI” (With AI-generated content, deepfakes, and edited posts everywhere, how can young people learn to question what they see without becoming overly suspicious or anxious about everything) yang disampaikan oleh YM Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi, Pengurus Penyiaran dan Peraturan Kandungan daripada AITI. Beliau mengongsikan pandangan tentang mendengar suara generasi muda dalam dunia digital bermaksud lebih daripada sekadar mendengar kata-kata mereka. Ia bererti memahami pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi, serta bertindak dengan memberikan bimbingan, sokongan dan perlindungan yang sesuai. Generasi muda hari ini membesar dengan teknologi dan AI yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, dan ini membentuk cara mereka belajar, berkomunikasi dan berkreativiti. Walaupun teknologi membawa manfaat, ia juga mempunyai risiko seperti maklumat palsu, deepfake dan kandungan yang mengelirukan. Peranan pengawal selia bukanlah untuk menghalang penggunaan teknologi, tetapi membantu kanak-kanak dan remaja membina kemahiran digital yang sihat—seperti mengawal masa skrin, mengenal pasti kandungan berbahaya dan semak kesahihan maklumat. Platform seperti TikTok, Instagram dan Roblox juga mempunyai peraturan dan ciri keselamatan untuk melindungi pengguna muda.Dengan kerjasama platform, ibu bapa dan komuniti, usaha keselamatan digital dapat diperkukuhkan. Tujuannya ialah memastikan generasi muda dapat meneroka dunia digital dengan selamat, yakin dan bertanggungjawab.

Tajuk 4 yang berkaiatan dengan Ancaman dan risiko dalam talian yang sering dihadapi zaman ini dan apakah tabiat mudah yang dapat membantu mereka kekal selamat setiap hari?” (What online risks or threats are most common among teenagers today, and what simple habits can help them stay safe every day?) yang disampaikan oleh YM Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi, Pegawai Operasi daripada Cyber Security. Beliau menekankan kepentingan mendengar guru dan pelajar memandangkan penggunaan media sosial di Brunei sangat tinggi walaupun populasinya kecil. Pihak Cyber Security melawat sekolah untuk memahami platform yang digunakan pelajar, memberi nasihat dan menggalakkan penggunaan teknologi secara positif. Bagi melindungi anak-anak, mereka perlu tahu saluran untuk membuat laporan jika dibuli atau menghadapi masalah dalam talian, serta berhati-hati terhadap amalan oversharing yang berbahaya. Pelajar diingatkan untuk berfikir sebelum memuat naik atau menghantar sesuatu, kerana maklumat yang dikongsi secara terbuka boleh dijejaki pihak polis jika perlu. Secara keseluruhan, setiap individu harus bijak dan tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan.

Sesi pagi diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada YM Dato Paduka Haji Omar bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) bagi Hal Ehwal Kanak-kanak kepada penyampai-penyampai taklimat.

Bagi sesi bengkel, ianya dikendalikan oleh YM Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi, Pengurus Penyiaran dan Peraturan Kandungan daripada AITI selaku fasilitator utama dan lima orang pakar yang akan membantu perbincangan para pelajar. Fasilitaror-fasilitator yang turut dijemput adalah YM Dayang Nur Amalizaan binti Haji Jamal, Pegawai Kerja Sosial daripada JAPEM, YM INSP Muhammad Zulfadli bin Haji M Suhaili, Pegawai Siasatan, daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, YM Pengiran Muhammad Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz, Ketua Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, daripada Cybersecurity, YM Dato Paduka Haji Omar bin Haji Khalid, Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan ke atas Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) bagi Hal Ehwal Kanak-kanak dan YM Dayang Zahratul’Azimah binti Haslin, Pegawai Kesihatan Bersekutu (Psikologi), Bahagian Psikologi Masyarakat daripada Kementerian Kesihatan.

Bengkel ini dipecahkan kepada 4 kumpulan dan dirumuskan seperti berikut;

Kumpulan 1 [Protection Against All Forms of Bullying] menyuarakan hasrat yang mendalam untuk melihat masa depan di mana isu buli dapat dikurangkan secara signifikan, dengan kanak-kanak menjadi lebih sedar, berfikiran terbuka, dan dilengkapi dengan pemikiran yang lebih sihat mengenai kesan buruk buli. Mereka mencadangkan bermula dengan usaha kesedaran meluas melalui kempen yang disasarkan dan program sekolah, menggalakkan tabiat positif harian yang ringkas bagi memupuk empati dan hormat, serta menguatkuasakan garis panduan yang lebih jelas—termasuk had masa skrin—untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat di dalam talian dan luar talian.

Kumpulan 2 [Balancing Digital Life & Mental Health] menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran meluas tentang mengimbangi tabiat digital dengan kesejahteraan mental, bertujuan untuk mempengaruhi majoriti golongan muda secara positif dan mewujudkan tingkah laku dalam talian yang lebih sihat. Mereka mencadangkan untuk memulakan perkongsian yang kukuh dengan sektor swasta, menganjurkan ceramah berkala di sekolah, dan melaksanakan kempen yang dipimpin kerajaan untuk melengkapkan kanak-kanak dengan pengetahuan dan sokongan yang diperlukan bagi mengekalkan kesihatan mental yang baik dalam dunia yang semakin digital.

Kumpulan 3 [AI, Children’s Rights & Online Safety] mengetengahkan keperluan bagi kanak-kanak untuk dapat membezakan antara kandungan sebenar dan kandungan yang dijana oleh AI, memahami manfaat dan risiko alat AI, serta menyedari kepentingan untuk kekal selamat dalam talian. Mereka mencadangkan pelantikan Duta Belia (Youth Ambassador) untuk memperjuangkan keselamatan dalam talian, mewujudkan aktiviti interaktif yang mengajarkan penggunaan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab, serta menggalakkan penyelidikan dan pembelajaran yang lebih mendalam tentang keupayaan teknologi dan impak masa depannya terhadap generasi muda.

Kumpulan 4 [Shared Responsibility for Child Safety & Protection] membayangkan sebuah masyarakat di mana maklum balas kanak-kanak didengari secara tulen dan digunakan untuk membentuk inisiatif masa depan, ancaman siber dikurangkan, dan golongan muda berasa diberi kuasa untuk menyumbang secara bermakna kepada keselamatan komuniti. Untuk mencapai matlamat ini, mereka menekankan kepentingan untuk bersuara tentang kebimbangan, menyokong satu sama lain, dan sentiasa mendapatkan maklumat tentang risiko, cabaran, dan kesan berkaitan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.

IMG_6849.jpg

Bengkel diakhiri dengan pembentangan hasil bengkel dari empat kumpulan tersebut dan seterusnya penyampaian cenderahati oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) selaku tetamu kehormat sesi petang.​


Attachments
Created at 11/25/2025 2:31 PM by jamaddil.kassim
Last modified at 11/25/2025 2:31 PM by jamaddil.kassim