Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN DERMA DAN MESYUARAT JAWATANKUASA KEBANGSAAN TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI REPUBLIK TURKIYE DAN REPUBLIK ARAB SYRIA

UPA_4813.jpg

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria hari ini daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Datastream Digital Sendirian Berhad (DST), Progresif Sendirian Berhad dan Imagine Sendirian Berhad dengan jumlah keseluruhan yang diterima sebanyak BND303,626.16. Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah dibukakan kepada orang ramai pada 14 Februari 2023 dan ditutup secara rasmi pada 14 Mei 2023.

Hadir bagi menerima sumbangan tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Penasihat-Penasihat Bersama Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria. Majlis berlangsung di Dewan Digadong, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

IMG_2261.jpgIMG_2272.jpg

IMG_2282.jpg

Sumbangan daripada pihak DST Sdn Bhd berjumlah BND138,649.00 telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin, Naib Presiden Kanan Operasi Pelanggan DST Sdn Bhd kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Dariapda jumlah tersebut, sebanyak BND133,649.00 adalah hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin daripada pelanggan-pelanggan DST, manakala sejumlah BND5,000.00 pula adalah sumbangan daripada DST Sdn Bhd.

Progresif Sdn Bhd pula menyumbangkan sebanyak BND31,755.00 yang disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Sebanyak BND29,755.00 daripada jumlah tersebut adalah hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin daripada pelanggan-pelanggan Progresif dan sejumlah BND2,000.00 adalah sumbangan daripada Progresif Sdn Bhd.

IMG_2243.jpg

Imagine Sdn Bhd menyerahkan sejumlah BND878.00 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Allen On, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Imagine Sdn Bhd dan Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada kempen 2 SMS Brunei Prihatin dan portal laman sesawang Imagine di www.imagine.com.bn.

Turut hadir ke majlis penyerahan tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga selaku Timbalan Penasihat jawatankuasa tabung.

IMG_2312.jpg

Acara kemudian diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai kaedah-kaedah bagi menyalurkan sumbangan tersebut kepada rakyat dan penduduk di Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.

IMG_23062.jpg

Dalam kesempatan ini, Urus Setia Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma-penderma sama ada secara individu, berkumpulan, jabatan, pertubuhan, badan-badan atau syarikat-syarikat yang telah menyumbang kepada tabung berkenaan. In shaa Allah, dengan sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin

Attachments
Created at 7/10/2023 4:10 PM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 7/11/2023 9:40 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim