Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PESTA RIA INKLUSIF SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTARABANGSA ORANG KELAINAN UPAYA 2023

IMG_0639.jpg
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah merasmikan Pesta Ria Inklusif dalam program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Seri Begawan hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.

Dengan bertemakan “Bersatu padu dalam tindakan menyelamat dan mencapai Sustainable Development Goals (SDG) untuk, dengan dan oleh orang kelainan upaya (United in action to rescue and achieve the SDGs for, with and by persons with disabilities), aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk meraikan penyertaan dan perkembangan golongan OKU di dalam masyarakat ke arah kebolehpasaran dan mandiri dari aspek penglibatan dan kemajuan dalam sosial, ekonomi dan budaya serta mengutarakan isu-isu penting dan cabaran semasa yang dihadapi oleh OKU dalam pelbagai konteks seperti aksesibiliti.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al- Fatihah oleh Yang Mulia Awangku Muhd Amirul Fa’iq bin Pengiran Zali,Pelatih Latihan Industri Pusat Bahagia Brunei dan Muara. Acara seterusnya adalah penyampaian sijil oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada pelatih-pelatih UnikLearn, An-Nuur Harapan yang telah tamat program Latihan Persediaan Pekerjaan dan Internship bagi sesi 2022/2023.
IMG_4419.jpg

Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil kepada dua puluh (20) majikan-majikan daripada agensi kerajaan dan swasta yang telah mengambil bekerja lepasan pelatih-pelatih Pusat Bahagia seluruh daerah iaitu daripada Hospital Suri Seri Begawan, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Belait, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Datastream Digital Sdn Bhd, DST Communications Sdn Bhd, Aegis Secure Data Solution (ASDS) Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, Restoran Buffalo Steakhouse, Care Facility Services Sdn Bhd, OSCO Sdn Bhd, Alimen Enterprise, Syarikat Dayang Damit Binti O.K.I.N Awang Jaraie, Syarikat Hong Siong Hin Auto Workshop, Kuala Belait, Setia Edge Sdn Bhd, Amrtur Corporation Sdn Bhd, Syarikat Juredco Engineering and Supplies Sdn Bhd dan Syarikat Pengangkutan Nong Tangang Jaya.

Penyampaian sijil juga diteruskan kepada para sukarelawan yang terdiri dari penuntut-penuntut Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Politeknik Brunei dan juga sukarelawan daripada BIBD Medic.

Antara pengisian program ini termasuklah sesi senamrobik beramai-ramai yang dikendalikan oleh Aman Optimum Fitness dan diteruskan dengan aktiviti “Fun Walk” sejauh satu perpuluhan enam belas kilometer (1.16km) yang turut disertai oleh lebih dari 200 orang termasuk golongan OKU.

Di samping itu, sesi orientasi dan mobiliti diadakan untuk menunjukan cara yang betul dalam menyapa dan menuntuni orang berkelainan upaya penglihatan berjalan dari satu destinasi ke satu destinasi disamping merasai sendiri pengalaman berjalan dengan menutup mata. Dalam masa yang sama, ianya juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan tongkat putih bagi OKU penglihatan. Orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan pameran dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), persatuan-persatuan OKU, persatuan badan-badan bukan kerajaan, Universiti Teknologi Brunei, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
IMG_0961.jpg

Turut hadir ialah Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab, Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan.

Sambutan HAOKU ini dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Paralympic Council of Brunei Darussalam (PCBD), Persatuan-Persatuan OKU, UnikLearn, La Vida dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC).
Attachments
Created at 12/9/2023 10:59 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 12/9/2023 10:59 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim