Seramai 11 orang ketua keluarga telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui
Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung
di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Seramai satu (1) ketua keluarga daripada sebelas (11) yang menerima bantuan kewangan hari ini
adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian angin kencang, tiga (3) ketua keluarga terlibat dalam
kebakaran, Lima (5) ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan dua (2) ketua keluarga yang
terlibat dalam kejadian rumah roboh. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam
kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang
Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia
dan Sukan.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh
mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan
keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami
musibah.
