Seramai 15 orang ketua keluarga telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui
Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung
di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Seramai satu (1) ketua keluarga daripada lima belas (15) yang menerima bantuan kewangan hari ini
adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah, empat (4) ketua keluarga terlibat
dalam kejadian rumah roboh, Lima (5) ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan lima (5)
ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang. Kesemua mangsa dan penghuni rumah
yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami
sebarang kecederaan.

Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia
Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan
Pembangunan Masyarakat.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh
mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan
keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami
musibah.