Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2024, Jabatan Pembangunan Masyarakat telah mengadakan Majlis "Qalbun Salim" petang tadi bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang.
Majlis ini dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.
Majlis bertujuan melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah menyumbangkan kepada pembangunan masyarakat. Seramai lebih dari 130 orang menghadiri majlis ini, yang dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan tahlil yang dipimpin oleh YM Awang Khaizuran Amali bin Haji Kamsami, Iman Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.
Seterusnya, Tazkirah Khas bertajuk "Menyantuni Golongan OKU" telah disampaikan oleh YM Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah. Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan isu mentaliti atau sikap sesetengah anggota masyarakat yang menganggap Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai beban dalam kehidupan. Sikap ini menyebabkan perjalanan hidup golongan OKU penuh dengan cabaran yang perlu diatasi. Beliau menegaskan bahawa sikap sebegini amat tidak wajar dalam kalangan masyarakat normal. Sebagai seorang Muslim yang beriman, masyarakat seharusnya melihat golongan OKU sebagai peluang untuk meraih pahala dengan memberikan bantuan yang sewajarnya.
Sebagai langkah mewujudkan masyarakat yang inklusif, YM Awang Abdul Aziz bin Assan, Pegawai Pelajaran, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait, selaku juru alih bahasa isyarat dijemput bagi memastikan golongan OKU Pendengaran dapat mengikuti keseluruhan majlis dengan baik.
Majlis diakhiri dengan Solat Fardhu Asar berjemaah yang diimamkan oleh YM Awang Khaizuran Amali bin Haji Kamsami dan bacaan Doa Kesyukuran Khas Orang Kelainan Upaya, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan kepada penduduk Palestin.
Turut hadir YM Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pegawai-pegawai kanan KKBS, YM Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), ahli-ahli MKOKU dan persatuan di bawahnya, serta rakan-rakan strategik Kementerian.
Majlis "Qalbun Salim" mencerminkan komitmen negara dalam memastikan golongan OKU terus dihargai dan disokong dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga akan turut serta dalam meraikan HAOKU dengan menyalakan lampu berwarna ungu di beberapa lokasi utama termasuk Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu ini akan berlangsung pada 02 hingga 03 Disember 2024 bermula pukul 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam sebagai tanda sokongan dan simbolik sambutan HAOKU. Warna ungu ini selaras dengan amalan yang dipraktikkan oleh negara lain. Orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi tersebut yang diterangi lampu ungu dan memuat naik ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HAOKU2024 atau #IDPWD.