Seramai 39 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, banjir dan angin kencang
telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Seramai empat (4) orang ketua keluarga daripada tiga puluh sembilan (39) yang menerima bantuan
kewangan hari ini adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran, lima (5) ketua keluarga
terlibat dalam kejadian banjir dan tiga puluh (30) orang ketua keluarga yang terlibat dengan kejadian
angin kencang. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana
tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia
Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh
mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan
keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami
musibah.