Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Kesyukuran di Masjid Universiti Brunei Darussalam yang telah disertai lebih daripada 150 orang.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah YM Datin Dayang Hajah Binanun binti Haji Bungsu, Isteri kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Tahlil yang dipimpin oleh Ustazah Hajah Sarsinah binti Haji Yussof, ahli Muslimah Masjid Universiti Brunei Darussalam dan Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Ustazah Dayang Norkamaliah binti Haji Mokti, Guru Ugama Terlatih Pusat Pembangunan Belia.
Majlis diteruskan dengan tazkirah bertajuk "Bangkitlah Wanita, Bahagialah Wanita" yang disampaikan oleh YM Ustazah Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan, Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Universiti Brunei Darussalam. Antara intipati tazkirah tersebut menerangkan mengenai kebolehan wanita mengembangkan potensi diri dengan adanya ilmu dan latihan. Dengan mengambil contoh-contoh wanita berjasa di zaman nabi, Wanita juga di seru untuk terus memajukan diri, bersikap gigih dan sabar dalam menghadapi cabaran untuk meningkatkan kedayatahanan diri. Harapan supaya masyarakat dapat membuka minda serta membuka peluang kepada wanita menyumbangkan bakti dari segi tenaga, buah fikiran, ekonomi agar dapat memacu bangsa mencapai wawasan negara.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat Terhindar dari Wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Ustazah Dayang Norkamaliah binti Haji Mokti, Guru Ugama Terlatih Pusat Pembangunan Belia.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa disambut pada setiap 8 Mac dan tahun ini merupakan kali ke-11 Negara Brunei Darussalam meraikannya dengan bertemakan "Pelaburan untuk Wanita: Mempercepatkan Kemajuaan".
Turut hadir ialah YM Datin Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Peguam Negara di Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam, YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli persatuan, rakan-rakan strategik KKBS, muslimah-muslimah masjid serta mahasiswi dari pusat-pusat pengajian tinggi.