
Sebagai usaha menyokong Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya yang disambut setiap 3 Disember, Negara Brunei Darussalam akan menyalakan lampu berwarna ungu di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) bermula pada hari Sabtu 2 Disember 2023, pukul 8.00 malam hingga 5.00 pagi pada hari Ahad, 3 Disember 2023.
Penyalaan lampu di Jambatan SHOAS adalah untuk meraikan dan sebagai warna simbolik Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya yang turut dipraktikkan oleh negara-negara lain.
Justeru itu, orang ramai adalah dijemput untuk mengambil gambar jambatan dan memuatnaik ke dalam media sosial dengan menggunakan hashtag #HAOKU2023 atau #IDPWD.