Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA ANAK-ANAK YATIM PERINGKAT KEBANGSAAN BAGI TAHUN 1444H/2023M

IMG_3960.jpg

​​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim peringkat kebangsaan hari ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian derma ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS serta Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara. Majlis juga dihadiri oleh wakil Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), iaitu Yang Mulia Awang Junaidi bin Haji Masri, Pengarah Urusan dan Pegawai Eksekutif BIBD, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Hj Mohd Yussoff bin Pg. Hj. Bahar, Ketua Perbankan Swasta BIBD, Yang Mulia Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD dan Yang Mulia Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, Timbalan Pengarah Urusan BIBD.

IMG_3849.jpg

Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Hassanil Muhtadi Al-Siddiqi bin Drs. Haji Ismuhadi dan kemudian diterjemahkan oleh Yang Mulia Awang Chik Akbar @ Dimas bin Ahmad Hilmi. Kedua-duanya adalah penuntut daripada Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Acara juga diteruskan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rasyidah saadatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar Cermelang BIBD kepada 14 orang anak-anak yatim yang telah mendapat keputusan yang cermelang dalam peringkat 'O' Level, Perperiksaan Sekolah Rendah (PSR) dan peringkat Sijil Pelajaran Ugama Brunei pada tahun 2022. Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Awang Junaidi bin Haji Masri, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD. Majlis kemudian diikuti dengan penyampaian sampul-sampul derma kepada wakil pegawai-pegawai daerah bagi anak-anak yatim di daerah masing-masing.

IMG_3877.jpgIMG_3881.jpgIMG_3892.jpgIMG_3905.jpg

Tarikh bagi majlis penyerahan derma di daerah-daerah lain akan dimaklumkan kemudian. Majlis tersebut akan diadakan secara serentak, iaitu bertempat di Pusat Insani, Seria bagi anak-anak yatim di Daerah Belait, Kompleks Sukan Tutong bagi anak-anak yatim di Daerah Tutong dan Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan Pekan Bangar bagi anak-anak yatim di Daerah Temburong.

Seramai 3,807 orang anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM menerima sumbangan derma pada majlis ini. Daripada jumlah tersebut:

  • ​2,456 orang adalah anak-anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara;
  • 594 orang anak-anak yatim berdaftar di Daerah Tutong;
  • 584 orang anak-anak yatim berdaftar di Daerah Belait dan;
  • 173 orang anak-anak yatim berdaftar di Daerah Temburong.

Derma yang dihulurkan merupakan sumbangan melalui gabungan Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei Muara, dan sumbangan BIBD pada tahun ini. Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM adalah sebanyak BND380,700.00. Manakala, Tabung Anak Yatim Daerah Brunei Muara menyumbangkan sejumlah BND57,105.00 dan sumbangan BIBD berjumlah BND190.350.00

IMG_3861.jpg

Urus Setia Tabung Anak-Anak Yatim sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan. Sumbangan derma tersebut bolehlah dihulurkan melalui kaedah berikut:

  • Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa waktu pejabat sahaja, atau;
  • melalui sistem pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim yang berlangsung selama 3 bulan mulai 17 Mac 2023 hingga 17 Jun 2023 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999; atau
  • Melalui BIBD online atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun "Tabung Anak-Anak Yatim".

Bagi sebarang pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di talian 2380704 pada waktu pejabat atau menghubungi Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.

Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal yang mulia selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan sekaligus untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah Subanahu Wata'aala.

Attachments
Created at 4/1/2023 10:49 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 4/1/2023 10:49 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim