Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PENYERAHAN DERMA ANAK YATIM BAGI TAHUN 1443H/2022M

IMG_0241.JPG

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei Muara di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis penyerahan derma anak-anak yatim peringkat kebangsaan selam dua hari bermula hari ini 13 April 2022 hingga 14 April 2022 yang diadakan secara pandu lalu mulai pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang.

Majlis penyerahan derma hari ini tertumpu di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas; Masjid Hassanal Bolkiah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mentiri; dan Dewan Bridex, Jerudong. Manakala penyerahan di daerah-daerah lain pula akan diadakan secara serentak pada 14 April 2022.

Hadir bagi menyampaikan derma anak yatim di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei Muara dan Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang diwakili oleh Awang Junaidi bin Haji Masri, Pengarah Urusan Modal Pembangunan Strategik, BIBD dan Haji Sofian bin Mohammad Jani, Pemangku Pengarah Urusan, Agensi Pelaburan Brunei, BIBD.

DSC_1543.JPG

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap Kemasyarakatan dan Kebudayaan, KKBS dan Dayang Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD.

Sementara penyerahan derma di Dewan Bridex, Jerudong disampaikan oleh Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Pentadbiran, Kewangan dan Estet, KKBS, manakala di masjid Hassanal Bolkiah, RPN Mentiri pula disempurnakan oleh Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap Pengurusan Strategi dan Dasar, KKBS.

DSC02201.JPG

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Anuar bin Haji Salim bagi acara yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. Majlis penyerahan derma di Masjid Hassanal Bolkiah, RPN Mentiri dibacakan oleh Imam Haji Samsul bin Haji Latif dan di Dewan Bridex pula diketuai oleh Haji Nurmateen bin Haji Abu Bakar, Guru Ugama Pusat Bahagia JAPEM.

Seramai 3,999 orang anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM akan menerima sumbangan derma daripada Tabung Anak-Anak Yatim, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei Muara, dan BIBD pada tahun ini. Seramai 2,580 orang adalah anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara, 611 orang anak yatim yang berdaftar Daerah Tutong, 619 orang yang berdaftar di Daerah Belait dan 189 orang anak yatim yang berdaftar di Daerah Temburong.

IMG_7456.JPG

Majlis penyerahan derma di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas akan dilanjutkan esok dan secara serentak diadakan di seluruh daerah yang bertempat di Pusat Insani, Seria, Kompleks Sukan Tutong dan Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong pada 14 April 2022.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM, Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.

Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal yang mulia selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan sekaligus untuk mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'aala.


Attachments
Created at 9/1/2022 3:04 PM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 9/1/2022 3:04 PM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim