Bandar Seri Begawan, Selasa, 11 Ogos 2020 - Majlis penyerahan bantuan kerajaan kepada mangsa bencana kebakaran yang berlaku di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Rimba, Daerah Brunei Muara pada 8 Ogos 2020 yang lalu telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada pagi ini yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir bagi menyampaikan bantuan tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Dayang Hajah Badariah binti Mamudin, ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut. Majlis juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Pemberian bantuan kewangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.