Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Pameran “Seni Untuk Semua” sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (OKU) 2024.
Lebih 100 karya seni, termasuk lukisan, kraftangan, model, dan replika, dipamerkan di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja bermula hari ini, 18 Disember 2024 hingga 10 Januari 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan acara tersebut ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Muhamad Zharfan bin Haji Awang Ahmad, Pegawai Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Seterusnya, Yang Mulia Dayang Siti Zaharah binti Haji Abd Razak, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum majlis diteruskan dengan pelancaran pameran oleh tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.
Pameran “Seni Untuk Semua” tahun ini merupakan kali ke-3 diadakan dengan meneroka tema “Space” yang berkaitan dengan angkasa, astronomi, dan alam cakrawala. Tema ini memberi peluang kepada para artis untuk mengolah konsep planet, bintang, komet, nebula, dan elemen lain alam cakrawala ke dalam karya seni mereka, dengan gabungan pengetahuan sains, imaginasi, dan kreativiti. Selain lukisan, model kapal angkasa dan replika angkasawan juga dipamerkan.
Pameran ini mengetengahkan hasil seni kreatif OKU dari pelbagai agensi seperti Pusat Bahagia di keempat-empat daerah, sekolah-sekolah rendah dan menengah, serta badan bukan kerajaan (NGO). Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Kapok Muara, dan Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49. NGO yang turut serta termasuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Society for Management of Autism Related Issues in Training, Education and Resources (SMARTER), La Vida, dan Persatuan ABLE.
Antara objektif pameran ini adalah untuk menjadikan seni sebagai wadah yang memberi peluang serta hak kesaksamaan dalam persada seni kepada golongan OKU. Ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran yang merangsang OKU untuk aktif dalam seni, menggalakkan integrasi sosial, dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bakat serta hasil seni OKU.
Turut hadir ke pameran tersebut ialah Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, ahli Majlis Mesyuarat Negara, YM Malai Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji Abdullah, Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, YM Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Yang Di-Pertua Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, Suruhanjaya Tinggi Australia, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik dari agensi swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan.
Pameran “Seni Untuk Semua” ini berlangsung mulai 18 Disember 2024, hingga 10 Januari 2025. Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi pameran ini dan menelusuri keajaiban serta keindahan alam cakrawala yang diilhamkan oleh kreativiti artis-artis OKU.