Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sidang Media Majlis Pembuka Tirai Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019

​Bandar Seri Begawan, Rabu, 16hb Januari 2019 - Acara sidang media mengenai Majlis Pembuka Tirai Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019 telah diadakan pada pukul 2.30 petang di Dewan Chitra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Acara ini adalah salah satu acara utama sempena pengiktirafan Bandar Seri Begawan yang telah dipilih dan diisytiharkan sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019 bersama dengan Bandar-Bandar di rantau Arab dan rantau Afrika iaitu Tunis, Republik Tunisia dan Bissau, Republik Guinea semasa persidangan Islamic Conference of Culture Ministers (ICCM) yang ke - 9 pada 2 hingga 4 November 2015, di Muscat, Oman.

Inisiatif ini adalah di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dalam mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli sejak tahun 1985. Sejak inisiatif ini dimulakan pada tahun 2005, pemilihan Bandar Seri Begawan merupakan kali ketiga bandar di Asia Tenggara dipilih untuk menjadi Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi rantau Asia berikutan Kuala Lumpur, Malaysia pada tahun 2009 dan Jakarta, Indonesia pada tahun 2011.

Pemilihan ini juga mempunyai nilai tambah yang bermakna bagi Negara Brunei Darussalam yang mana ia juga mencerminkan status Asia Tenggara sebagai rantau yang mempunyai sejarah dan kebudayaan Islam yang sehebat seperti rantau yang lain. APa yang turut istimewa, bandar-bandar telah dipilih sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi tahun 2019 akan mendapat penghormatan unik sebagai bandar raya kembar (Twin City) kepada bandar Al-Quds Al-Sharif.

Dalam hubungan ini, Majlis Pembuka Tirai Bandar Seri Begawan ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019 "Pameran Jejak Seni Bina Islam Bandar Seri Begawan" akan diadakan pada hari Khamis, 10 Jamadilawal 1440H bersamaan 17hb Januari 2019 bertempat Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Tetatmu Kehormat bagi majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar Bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Manakala para jemputan adalah terdiri daripada Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi luar negara ke Negara Brunei Darussalam, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, pihak swasta dan NGO.

Pameran ini adalah berkaitan dengan Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan) yang mana telah menyaksikan transfomasi sebuah bangsa, melahirkan ketamadunan Islam dan pembangunan kemanusiaan yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja lebih dari 600 tahun. Melayu Islam Beraja diterapkan dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat dan negara dan berjaya membawa negara ini ke arah kemakmuran dan kedaulatan. 


Attachments
Created at 1/17/2019 11:50 AM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi
Last modified at 1/19/2019 2:54 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan