Tutong, Khamis, 24 September 2020 - Bengkel Asas Bahasa Isyarat yang telah diadakan selama 3 hari telah pun menutup tirainya pada petang ini dengan mengadakan Majlis Penutup. Hadir sebagai tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bertempat di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.
Bengkel tersebut telah dianjurkan dengan kerjasama bersama Bahagian Orang Kelainan Upaya (OKU), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP). Seramai 56 orang peserta telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta, ahli-ahli Persatuan Warga Emas Tutong, penuntut pengajian tinggi; suri rumahtangga; anak-anak buah kampung yang menetap di Daerah Tutong dan Daerah Belait serta orang-orang persendirian.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Adnan bin Haji Taha, Guru Ugama Pusat Bahagia Tutong. Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian sama daripada wakil peserta bengkel iaitu Dayang Siti Sara binti Haji Kamis.
Bagi mengakhiri majlis ini, sebuah tayangan video pendek mengenai aktiviti-aktiviti peserta sepanjang mengikuti bengkel turut dimainkan dan disudahi dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Tetamu Kehormat.