Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | Mengenai Kami | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 

.: FAQ  | PERINTAH UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (PINDAAN), 2010 DAN PERINTAH AKTA PEREMPUAN BERSUAMI (PINDAAN), 2010 :.

Sebagai salah satu usaha dalam menangani isu mengenai keganasan rumahtangga di Negara ini, Kerajaan KDYMM telah membuat pindaan kepada dua undang-undang iaitu dengan memasukkan komponen keganasan rumahtangga iaitu pemasukan Bahagian V A dalam Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan), 2010 dan pemasukan Bahagian II A Perlindungan Keluarga dalam Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan), 2010. Di dalam Perintah Undang-Undang Keluarga Islam, Keganasan Rumahtangga dimaksudkan sebagai “Dharar Syar’ie” iaitu istilah Bahasa Arab yang membawa maksud Keganasan Rumahtangga. Pindaan terhadap kedua-dua Perintah berkenaan merangkumi beberapa perkara antaranya: perintah perlindungan dan perintah perlindungan segera, perlindungan di suatu tempat atau institusi, perintah penahanan, perintah pengasingan (restraining order), kuasa untuk menangkap, pampasan dan kaunseling mandatori. Kedua-dua Perintah di atas telah mula berkuatkuasa pada 26 Jun 2010.

SOAL JAWAB MENGENAI DHARAR SYAR’IE & KEGANASAN RUMAHTANGGA

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan “Dharar Syar’ie” atau Keganasan Rumahtangga berdasarkan Akta yang tersebut diatas?

Dharar Syar’ie atau Keganasan Rumahtangga ialah mana-mana perbuatan seperti berikut:

  • Dengan sengaja, mengetahui atau cuba menyebabkan seseorang dalam keadaan ketakutan atau boleh mendatangkan kecederaan,

  • Perbuatan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kecederaan,

  • Perbuatan memaksa seseorang untuk melakukan sesuatu tanpa kerelaannya (sebagai contoh rogol, paksaan melakukan hubungan seks, dengan tujuan untuk mengaibkan),

  • Perbuatan mengurung dan menahan seseorang (sebagai contoh tidak membenarkan membuat sebarang hubungan sosial dengan keluarga atau menghadiri sebarang majlis keluarga),

  • Mengganggu secara berterusan dengan menyebabkan kesusahan, kegusaran atau keaiban (sebagai contoh pengabaian kebajikan dan kesejahteraan isteri, anak-anak, adik-beradik dan ibu bapa, mengancam samaada secara perbuatan dan percakapan atau ancaman melalui alat komunikasi, suami / isteri membawa perempuan / lelaki lain ke bilik tidur, kes gantung tidak bertali),

  • Perbuatan menyebabkan kemusnahan, kerosakan atau kehilangan harta seseorang (sebagai contoh merosakkan kereta atau harta benda yang lain).

Rujukan:
Bab60A, Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan), 2010 dan Bab 18A (1) Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan), 2010.

  1. Apakah perintah-perintah yang boleh dikeluarkan oleh Mahkamah kepada pelaku atau mangsa Dharar Syar’ie / Keganasan Rumahtangga?

Mahkamah boleh mengeluarkan perintah-perintah berikut:

  • Memberikan hak kediaman eksklusif kepada mangsa dengan mengeluarkan pelaku daripada tempat kediaman berkenaan;
  • Melarang atau menyekat pelaku memasuki tempat kediaman, tempat pekerjaan, sekolah, institusi mangsa atau membuat perhubungan dengan mangsa;
  • Untuk mangsa memasuki kediaman bersama bagi mengambil barang-barang kepunyaannya dengan ditemani oleh pegawai penguatkuasa;
  • Menetapkan tatacara perhubungan antara pelaku dan mangsa;
  • Membenarkan mangsa menggunakan sesebuah kenderaan yang sebelumnya biasa digunakannya;
  • Menghendaki samada pelaku, mangsa atau anak-anak mereka untuk menghadiri kaunseling;
  • Menghendaki pelaku untuk membayar pampasan kepada mangsa jika berlaku sebarang kecederaan, kemusnahan, kerosakan atau kerugian;
  • Menempatkan mangsa di sesebuah tempat perlindungan.

Rujukan:
Bab 60B (5) Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan), 2010 dan 18B (5) Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan), 2010.

  1. Jika saya menjadi mangsa Dharar Syar’ie atau Keganasan Rumahtangga, apa yang patut saya lakukan?
  • Minta bantuan dari keluarga atau;
  • Minta bantuan dari jiran atau;
  • Minta bantuan dari Ketua Kampong / Penghulu atau;
  • Buat aduan ke Balai Polis yang berdekatan / Hubungi polis ‘993’ atau;
  • Terus ke klinik atau hospital yang berdekatan, jika mengalami kecederaan atau;
  • Hubungi JAPEM ‘141’.

Menurut Bab 60F (1), Perintah Akta Keluarga Islam dan Bab 18H (1) Perintah Akta Perempuan Bersuami seorang pegawai polis mempercayai atas alasan yang munasabah boleh tanpa waran menangkap pelaku tersebut untuk dibawa ke Balai Polis.

  1. Jika saya menjadi mangsa Dharar Syar’ie atau Keganasan Rumahtangga dimanakah saya boleh mendapatkan perlindungan?

Mangsa boleh mendapatkan perlindungan sementara dari :

  • Keluarga lain yang terdekat yang dipercayai dan boleh membantu;
  • Kawan yang boleh dipercayai;
  • Balai Polis terdekat.
  • Tempat perlindungan dibawah kawalan JAPEM

Rujukan:
Bab 60J Perintah Akta Keluarga Islam dan Bab 18L Perintah Akta Perempuan Bersuami, Pengarah JAPEM boleh menempatkan mangsa di suatu tempat perlindungan.

  1. Apakah tindakan pihak polis kepada pelaku jika berlaku kejadian Dharar Syar’ie atau Keganasan Rumahtangga?

Pihak polis boleh :

  • Tanpa waran menangkap pelaku untuk dibawa ke Balai Polis;
  • Pelaku berkenaan akan dirujuk di bawah Bab 33 dari Kanun Peraturan Jenayah (Penggal 7);

Rujukan:
Bab60F Perintah Akta Keluarga Islam dan Bab 18D (2) dan Bab 18H Perintah Akta Perempuan Bersuami

  1. Jika saya menjadi mangsa Dharar Syar’ie atau Keganasan Rumahtangga, apakah bantuan yang boleh diberikan oleh pihak polis atau penguatkuasa lain?

Pihak polis atau penguatkuasa lain boleh :

  • Membantu mangsa menfailkan aduan;
  • Mengeluarkan perintah perlindungan segera bagi keselamatan mangsa;
  • Mengaturkan pengangkutan bagi mangsa ke tempat kediaman atau tempat perlindungan;
  • Mengaturkan pengangkutan bagi mangsa ke rumah sakit;
  • Menemani mangsa ke tempat kediamannya yang dahulu untuk mengambil barang-barang kepunyaannya;

Rujukan:
Bab 60D (2) dan Bab 60H Perintah Akta Keluarga Islam dan Bab 18D (2) dan Bab 18J Perintah Akta Perempuan Bersuami.

  1. Jika sekiranya mangsa mengalami sebarang kecederaan atau kehilangan harta atau kerugian kewangan disebabkan oleh Dharar Syar’ie, apakah tindakan yang dibuat terhadap pelaku?

Mahkamah boleh memerintahkan pelaku membayar pampasan kepada mangsa dengan mengambil kira kesakitan dan penderitaan mangsa, kos rawatan, kehilangan pendapatan, jumlah nilai harta yang musnah, rosak atau hilang dan perbelanjaan yang perlu dan munasabah yang dilakukan oleh mangsa apabila dia terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada pelaku.

Jika pelaku gagal mematuhi perintah Mahkamah, ia boleh dikenakan denda atau penjara seperti yang terkandung di dalam Bab 60D (5) Undang-Undang Keluarga Islam 1999 iaitu denda sehingga $2,000 dihukum penjara sehingga 6 bulan atau kedua-dua sekali, atau bagi kesalahan kedua dan berikutnya dikenakan denda sehingga $5,000 atau dihukum penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Rujukan:
Berdasarkan Bab 60E Undang-Undang Keluarga Islam 1999,

  1. Jika sekiranya seseorang mendapati sedang atau telah terjadinya DS / KR seperti pertengkaran di antara suami dan isteri atau di antara ahli keluarga lain sehingga menyebabkan atau berlakunya sebarang kecederaan, apakah tindakan yang sepatutnya dibuat?

Seseorang itu boleh memberi maklumat tersebut kepada seseorang pegawai penguatkuasa sama ada kepada pegawai polis, pegawai Jabatan Pembangunan Masyarakat atau pegawai Hal Ehwal Syariah. Pemberi maklumat juga akan dirahsiakan identitinya dan beliau tidak akan menanggung sebarang liabiliti dari tindakannya itu.

Rujukan:
Bab 60G Undang-Undang Keluarga Islam 1999.

  1. Apakah tindakan jika sekiranya seseorang isteri yang sering menjadi mangsa dera tetapi tidak mahu melaporkannya disebabkan oleh faktor anak-anak, nafkah dan tempat tinggal?

Isteri tersebut mesti melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa kerana ianya secara peribadi mempunyai hak untuk tidak dicederakan. Pengurusan anak-anak, nafkah dan tempat tinggal akan ditangani bersama dengan bantuan pihak keluarga dan penguatkuasa. Contoh bantuan ialah seperti bantuan tempat perlindungan dan bantuan kewangan sekiranya perlu ataupun bersesuaian.

Rujukan:
Bab 60B (5) Undang-Undang Keluarga Islam 1999.

  1. Apakah tindakan yang perlu dibuat oleh mangsa jika sekiranya mangsa tidak dapat menunjukkan sebarang bukti terjadinya penderaan (sebagai contoh: penderaan emosi dan kewangan)?

Mangsa boleh membuat laporan kepada mana-mana pegawai penguatkuasa untuk penyiasatan lanjut. JAPEM sebagai salah sebuah agensi penguatkuasa akan membuat pendekatan lanjut bagi mana-mana laporan yang diterima daripada orang ramai. Jika terdapat sebarang bukti yang boleh menyokong aduan yang dibuat, kes berkenaan akan ditangani berdasarkan peruntukan kedua-dua akta di atas seperti mendapatkan perintah perlindungan, perintah menghalang pelaku daripada terus melakukan sebarang bentuk keganasan rumahtangga atau untuk kedua-dua pihak pelaku dan mangsa menghadiri kaunseling.